KOTA KINABALU: Usahawan Nur Jawaheer Ismail, yang lebih dikenali sebagai Wawa, telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 6 Februari 2026 berhubung satu pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Kes tersebut berpunca daripada insiden di sekatan jalan raya pada 1 Jun 2021 ketika negara masih berdepan situasi pandemik COVID-19. Dalam perjalanan beliau pada hari berkenaan, Wawa ditahan atas isu berkaitan dokumen kenderaan, dan insiden itu kemudiannya menjadi perhatian apabila rakaman video berkaitan kejadian berkenaan tular di media sosial.
Dalam prosiding perbicaraan, timbul isu mengenai rakaman video yang dibuat semasa kejadian serta bagaimana video berkenaan tersebar. Pihak pembelaan berhujah bahawa video yang tular hanya memaparkan sebahagian kejadian dan tidak menggambarkan keseluruhan konteks, sekali gus menimbulkan persepsi negatif terhadap Wawa.

Peguam bela, Angela Ubu, memaklumkan bahawa selepas mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan penghujahan pihak-pihak, mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan tidak membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Menurut beliau, keputusan tersebut menamatkan pertuduhan yang dihadapi oleh anak guamnya, dan pihaknya kini sedang meneliti langkah susulan yang wajar, termasuk pilihan tindakan undang-undang berkaitan kesan reputasi, tekanan emosi serta kerugian yang didakwa dialami susulan penularan rakaman berkenaan.
Keputusan ini juga menjadi peringatan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara berhemah dan mengikut undang-undang, manakala sebarang pertikaian wajar diselesaikan melalui proses perundangan yang sewajarnya.
Nota:
- Maklumat ini diringkaskan daripada rekod prosiding mahkamah dan penghujahan pihak-pihak dalam kes tersebut.
- Artikel ini merupakan kenyataan rasmi daripada firma peguambela
