KOTA KINABALU: 14 Sept 2026 – UPKO Bahagian Beluran menyambut baik cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, tetapi menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepat pelaksanaannya supaya tidak terus tertangguh.
Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Joseph Saang, berkata penambahan kerusi Parlimen perlu direalisasikan segera untuk memperkukuh suara Sabah di peringkat Persekutuan.
Felix berkata keputusan meminda Perlembagaan Persekutuan demi membolehkan pertambahan kerusi Parlimen positif, tetapi perlu disusuli tindakan konkrit.
“UPKO Beluran menyambut baik keputusan tersebut. Yang lebih penting ialah memastikan proses pelaksanaannya bergerak segera dan tidak ditangguhkan lagi,” katanya.
Menurut Felix, UPKO Beluran mencadangkan Sabah diberi sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen tambahan untuk meningkatkan perwakilan negeri itu dalam Dewan Rakyat.
Katanya, pertambahan itu perlu memperbaiki nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak, sejajar semangat pembentukan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pertambahan kerusi bukan sekadar soal angka, tetapi mengembalikan perwakilan rakyat Sabah dan Sarawak kepada kedudukan lebih seimbang. Ia penting untuk memastikan suara kedua-dua negeri diwakili lebih berkesan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Tambahnya, keperluan meningkatkan perwakilan Sabah turut dipengaruhi keluasan kawasan, pertumbuhan penduduk dan keperluan pembangunan berbeza antara kawasan.
Jelasnya, Perkara 113 memberi tanggungjawab kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengkaji semula persempadanan berdasarkan prinsip yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Belas.
Felix mahu SPR segera memastikan proses penambahan dan persempadanan kerusi dilaksanakan teratur.
“Tiada sebab proses ini dilengahkan. SPR perlu bertindak supaya komitmen Kerajaan terhadap penambahan kerusi Sabah dan Sarawak diterjemahkan secara nyata,” katanya.
Felix menegaskan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 1963 perlu diterjemahkan melalui perwakilan lebih adil di Parlimen.
Tegasnya, isu penambahan kerusi tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut kepentingan politik, sebaliknya usaha memperkukuh keadilan representasi dan menghormati asas pembentukan Malaysia.
“Ini bukan hanya soal politik, tetapi keadilan perwakilan, pengiktirafan kedudukan Sabah dan Sarawak, di samping penghormatan terhadap semangat pembentukan Malaysia,” katanya.

