UNK Bingkor, dari gelanggang karate ke pentas budaya

Gambar UNK Bingkor

KENINGAU: 20 Mei 2026 – Ketegasan dalam seni bela diri tidak pernah menghalang seorang wanita untuk menampilkan sisi lemah lembut dan penuh keayuan di pentas budaya.

Itulah yang dibuktikan oleh Alysheron Maunsiong, 24, pemegang tali pinggang hitam seni bela diri karate. Beliau kini melangkah ke pertandingan Unduk Ngadau (UN) dengan membawa semangat disiplin, keyakinan dan ketahanan diri yang dibentuk menerusi sukan berkenaan.

image 15
Aleysherone (biru) dalam kejohanan karate

Anak kelahiran Tambunan itu bekerja sendiri di samping menjadi jurulatih karate secara sambilan. Walaupun aktif dalam sukan lasak yang sinonim dengan kekuatan fizikal dan mental, beliau berjaya menyesuaikan diri dalam dunia pertandingan ratu cantik budaya yang – pada pandangannya – menuntut kelembutan, keanggunan dan kemahiran berkomunikasi.

Penyertaan di peringkat negeri kali ini menjadi pengalaman pertama Alysheron bertanding di pentas Unduk Ngadau KDCA. Sebelum ini, beliau pernah menyertai beberapa pertandingan Unduk Ngadau, termasuk berjaya berada dalam kelompok Top 5 UN Tambunan 2023, Top 7 UPKO Nasional 2025, sebelum akhirnya muncul Johan UN Bingkor tahun ini.

Menurutnya, cabaran terbesar sepanjang menyertai pertandingan ini adalah mengimbangi masa antara komitmen Unduk Ngadau dengan jadual karate dan kursus yang dihadiri.

“Terdapat beberapa aktiviti Unduk Ngadau yang bertembung dengan kejohanan karate dan kursus penting, namun syukur semuanya dapat diuruskan dengan baik,” katanya.

Untuk persiapan ke peringkat negeri, Alysheron menjalani latihan intensif bersama pengurusnya bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia, terutamanya dalam aspek catwalk dan pengucapan awam.

Malah, beliau pernah menjalani sesi latihan catwalk sehingga enam jam bagi memperkemaskan persembahan di pentas.

“Latihan bersama pengurus memang banyak membantu saya untuk lebih yakin dan memperbaiki cara berjalan dan bercakap di hadapan orang ramai,” katanya kepada TV Sabah.

DCFE785D 8110 46DA 9AD2 64A38DEFE2CC
Aleysherone bersama pengurus dan rakan-rakan. Foto – Nelson Michael

Walaupun menyimpan impian untuk menang, Alysheron memilih untuk tidak terlalu memberi tekanan kepada dirinya sendiri.
“Sudah tentu ada sasaran untuk menang, tetapi saya lebih fokus untuk memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa tekanan di peringkat negeri lebih mencabar memandangkan setiap peserta mempunyai kelebihan tersendiri. Namun, Alysheron percaya usaha, disiplin dan doa mampu menjadi kekuatan utama untuk terus melangkah jauh.

Ketika ditanya mengenai sistem sokongan, beliau menyatakan bahawa keluarga dan pengurus menjadi sistem sokongan terbesar sepanjang perjalanannya dalam dunia Unduk Ngadau.

“Mereka banyak membantu menaikkan semangat dan keyakinan saya, terutamanya dalam memberi tunjuk ajar ketika sesi soal jawab,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal