KOTA KINABALU: 28 Mei 2026 – Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Pengerusi Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2026, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, pertandingan Unduk Ngadau bukan sekadar simbol kecantikan luaran tetapi turut melambangkan kebijaksanaan, keyakinan, kepimpinan dan kekuatan wanita Sabah masa kini.
Tema Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”, membawa mesej bahawa perayaan ini untuk seluruh rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama.
“Melalui Kaamatan, kita belajar bahawa perbezaan bukanlah penghalang tetapi kekuatan yang menyatukan kita sebagai satu keluarga besar rakyat Sabah,” katanya semasa merasmikan Sodop Unduk Ngadau Kaamatan Sabah 2026.
Joachim turut menghargai usaha pereka fesyen tempatan, artisan budaya dan penggiat seni kreatif yang mengetengahkan keindahan budaya Sabah melalui sentuhan moden, sekali gus membuka peluang ekonomi kreatif.
Seramai 53 peserta mewakili daerah seluruh negeri bertanding dalam pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri.
“Menang atau kalah bukan ukuran utama kerana keberanian membawa identiti budaya dan memperjuangkan warisan itu sendiri sudah menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan agar rakyat Sabah terus memelihara semangat Kaamatan sebagai simbol kesyukuran, perpaduan dan penghormatan terhadap warisan nenek moyang.
