UMS Sedia Bantu Bangunkan Sistem Bekalan Air Bersih Pulau Kaniogan

BELURAN: 18 Julai 2025 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyatakan kesediaan untuk membantu membangunkan sistem bekalan air bersih bagi manfaat kira-kira 1,200 penduduk di Pulau Kaniogan, Beluran, yang telah lama berdepan kekurangan bekalan air bersih.

Melalui pasukan penyelidik Makmal Hidup Rural Water Supply (RuWaS) dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UMS kini menjalankan kajian cerapan terhadap potensi air bawah tanah serta kualiti sumber air tempatan di pulau berkenaan.

Beberapa sampel air telah diambil dan sedang dianalisis di makmal bagi menentukan kesesuaian rawatan dan kaedah penyaluran yang boleh digunakan.

Ketua pasukan penyelidik, Profesor Kehormat Dr. Kawi Bidin, memaklumkan bahawa usaha ini memerlukan pendekatan bersepadu serta komitmen berterusan pelbagai pihak, termasuk penyaluran dana dan bantuan teknikal, bagi merealisasikan sistem bekalan air yang mampan dan berimpak tinggi.

Beliau yakin teknologi yang dimiliki UMS mampu diterapkan di kawasan luar bandar seperti Pulau Kaniogan, asalkan terdapat kerjasama erat dan sokongan kewangan dari pihak berkepentingan.

Sementara itu, Ketua Kampung Kaniogan, Azmi Madlis memaklumkan bahawa penduduk kini bergantung kepada bekalan air dari pekan Beluran yang hanya boleh diakses melalui pengangkutan air, sekali gus meningkatkan kos sara hidup dan menyukarkan urusan harian.

Beliau berharap penyelesaian yang dirancang dapat dilaksanakan segera demi kesejahteraan komuniti kampung tersebut.

UMS melalui inisiatif RuWaS dilihat memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan luar bandar di Sabah, khususnya dalam isu berkaitan keperluan asas seperti air bersih.

Sumber: Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal