WP LABUAN: 28 Oktober 2025 – Pasukan penyelidik dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah mengadakan lawatan susulan ke Kampung Rampayan Laut, Menggatal pada 26 Oktober 2025 sebagai sebahagian daripada projek Pendayaan Komuniti@UniMADANI.
Lawatan itu bertujuan memantapkan lagi usaha penanaman cendawan tiram di kawasan tersebut dan meningkatkan kemahiran peserta melalui bimbingan teknikal serta lawatan tapak.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 30 peserta baharu dan lama, sekali gus menunjukkan minat tinggi komuniti terhadap penanaman cendawan sebagai sumber pendapatan tambahan.
Sepanjang sesi, pasukan penyelidik menerangkan aspek penting seperti kawalan kelembapan, pengudaraan, suhu, kaedah penuaian dan penyimpanan hasil, di samping memberi tunjuk ajar tentang strategi pemasaran bagi memperluas potensi jualan produk cendawan.
Peserta lama turut berkongsi pengalaman serta cabaran yang dihadapi sepanjang mengusahakan penanaman cendawan, menjadikan sesi tersebut sebagai wadah pembelajaran dua hala yang memperkukuh kerjasama antara komuniti dan pihak universiti.
Menariknya, beberapa peserta lama telah mengambil inisiatif membeli bongkah cendawan sendiri bagi menambah kapasiti penanaman, mencerminkan keyakinan serta kesungguhan mereka dalam mengurus aktiviti pertanian secara berdikari dan lestari.
Sebagai sebahagian daripada pemantauan projek, pasukan penyelidik UMS turut meninjau prestasi penanaman sedia ada dan memberikan cadangan penambahbaikan, termasuk nasihat teknikal secara terus di lapangan.
Projek ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Lee Hock Ann, bersama ahli pasukan Dr. Emily Yapp Hon Tshin, Dr. Sharinah Puasa dan Dr. Suzillah Sidek, yang turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan serta keberkesanan pelaksanaan projek komuniti ini.
Menurut Dr. Lee, semangat dan kerjasama komuniti Rampayan Laut amat membanggakan kerana membuktikan penanaman cendawan tiram mampu menjadi model ekonomi mampan, selain memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti.
FKAL kekal komited dalam membantu komuniti melalui pendekatan berasaskan ilmu dan kelestarian, seiring dengan matlamat universiti untuk memperkasa masyarakat melalui pendidikan dan inovasi.
Sumber: University Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (KAL)

