TAWAU: 3 Oktober 2025 – UMNO Bahagian Tawau terus memperkukuh peranannya di peringkat akar umbi apabila Pemuda UMNO Tawau menganjurkan program pemeriksaan kesihatan percuma di kawasan Bukit Quoin, semalam.
Program tersebut diketuai Bendahari Pemuda UMNO Tawau, Dr Elmiariezan Ardan, yang mewakili Ketua Pemuda UMNO Tawau, Rushamizan Rustam, bersama barisan kepimpinan Pemuda termasuk Naib Ketua Pemuda, Jumardi Sakka, serta Ahli Jawatankuasa Pemuda.
Menerusi inisiatif itu, penduduk setempat, khususnya golongan warga emas, mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan asas dan saringan kandungan gula secara percuma dengan khidmat profesional perubatan dari tenaga Pemuda UMNO sendiri.
Penganjuran program berkenaan dianggap sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Pemuda UMNO Tawau mendekati rakyat melalui pendekatan praktikal yang memberi manfaat langsung.
Selain kesihatan, mereka turut melaksanakan pelbagai program lain termasuk pemberian bantuan pendidikan, inisiatif kebajikan masyarakat serta penganjuran aktiviti belia.
UMNO Tawau melihat usaha berterusan turun padang ke kampung dan kawasan pedalaman sebagai kunci memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta memastikan suara akar umbi terus menjadi keutamaan parti.
Sumber: Utusan Borneo