KOTA KINABALU : 26 September 2025 – TV Sabah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lima rakan strategik pada Majlis Pelancaran TV Sabah dan Berita TV yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang semalam.
Lima syarikat yang terbabit ialah Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Persatuan Filem dan Visual Sabah, Breeze Magazine, Music Right Sabah dan Millenium Visual Production.

MoU ini menandakan permulaan kepada kerjasama rasmi antara TV Sabah dengan pemain industri kreatif tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kinabalu Media Sdn Bhd (TV Sabah), Suzanne Lujain-Bingkasan berkata, pemeteraian MoU itu adalah bukti kesungguhan rakyat Sabah bersatu dalam membina industri penyiaran dan media yang mampan.
“Kerjasama ini menunjukkan bahawa rakyat Sabah bersatu hati untuk membina sebuah ekosistem dalam industri penyiaran dan media selain berjuang memajukan negeri Sabah sendiri,” katanya.
Kerjasama tersebut meliputi pembangunan kandungan, perkongsian kepakaran teknikal serta usaha memperkukuh ekosistem media di Sabah agar mampu meningkatkan kualiti siaran, memperluas capaian penonton serta mengangkat karya kreatif anak tempatan ke pentas yang lebih luas.
Suzanne dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan MoU tersebut.
“Kepada rakan strategik MoU, terima kasih atas kepercayaan dan kesudian berjuang untuk membina dan mencipta ekosistem industri penyiaran dan media di negeri Sabah,” ujarnya.

Beliau menegaskan MoU bersama lima rakan strategik ini akan membolehkan TV Sabah menambah baik program siaran dengan sentuhan lokal, menggabungkan budaya, seni dan kreativiti masyarakat Sabah supaya dapat diketengahkan secara profesional kepada khalayak.
Suzanne turut menekankan bahawa TV Sabah akan terus membuka peluang pekerjaan, menerbitkan program berkualiti dan meningkatkan infrastruktur dengan sokongan padu daripada rakan strategik tersebut.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikan an dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.