KOTA KINABALU: 12 September 2025 – Kumpulan folk-rock Sabah, Tuni Sundatang, melakar sejarah apabila meraih Anugerah Best in Asia (Asian Folk) pada InterContinental Music Awards 2025 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Kemenangan itu diperoleh menerusi lagu Highlanders yang menampilkan usaha mereka mengangkat serta menghidupkan kembali budaya masyarakat Dusun melalui alunan muzik kontemporari.
Anugerah tersebut menghimpunkan lebih 500 finalis dari lebih 50 negara, dengan pengiktirafan diberikan kepada pelbagai genre muzik di pentas antarabangsa.
Selain Tuni Sundatang, dua lagi artis Malaysia turut cemerlang. Penyanyi dan penulis lagu, Heerraa, yang juga ahli undian Grammy, meraih Best in North America (Folk) menerusi lagu Love Wins hasil kerjasama dengan penerbit Nashville, Justine Blazer.
Minggu yang sama, beliau turut dinobatkan Female Songwriter of the Year (Gold Award – International Category) di International Singer-Songwriters Association Awards di Atlanta.
Turut mengharumkan nama negara ialah komposer piano dan muzik new age, Edward Kee, yang dianugerahkan Best in Pangea (New Age) bagi karya Rise Up.
Beberapa artis Malaysia lain juga disenaraikan sebagai finalis, termasuk Vincent Yong, Traditopia serta Isabelle Wyen-Lam Yong.
Kejayaan ini sekali gus menegaskan kedudukan Malaysia sebagai antara pusat bakat muzik yang semakin mendapat perhatian di persada dunia.
Sumber: Hello Sabah