Tuduhan Rasuah RM1.78 Direka dan Bermotif Politik – Kitingan

Share the news

KOTA KINABALU: 29 Jun 2025 – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menafikan dakwaan yang diterbitkan sebuah portal berita yang menuduhnya menerima wang RM1.78 juta berkaitan dengan skandal perlombongan yang di dakwa berlaku di Sabah.

Kitingan menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali menerima sebarang dana yang berkaitan dengan permohonan perlombongan atau skandal yang didakwa tersebut.

“Tuduhan ini sama sekali tidak berasas dan disifatkan sebagai serangan bermotifkan politik yang direka untuk menggugat kestabilan, memburukkan dan menghancurkan kerajaan Sabah yang sedia ada.

“Tuduhan ini juga adalah rekaan yang disengajakan, diatur oleh ‘politikus’ terdesak yang berusaha untuk memberikan pengaruh tidak wajar ke atas politik Sabah, iaitu satu taktik bersejarah yang telah digunakan sejak tahun 1960-an,” katanya kepada Ketua Penerangannya, Mohd Anuar Ghani Gilong di sini pada Ahad.

Menurut Gilong, Kitingan bersama ahli partinya yang lain telahpun memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan dengan memberikan kenyataan terperinci.

Beliau berkata, Kitingan menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti perlombongan dan menjelaskan bahawa tidak pernah ada permohonan sebarang lesen berhubung kegiatan tersebut.

Sebagai penyokong Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA), Kitingan juga menegaskan bahawa perlombongan sememangnya tidak serasi dengan prinsip pemuliharaan.

Katanya, Kitingan pada masa yang sama mengutuk cubaan media tersebut membicarakan kes itu melalui pendapat umum dan bukannya mengikut saluran undang-undang yang betul. Kenyataan terdahulu yang dibuat oleh pemberi maklumat telah membersihkan STAR dan PBS daripda sebarang salah laku dan penerimaan dana rasuah.

Gilong memetik ungkapan Kitingan, “Inilah harga yang perlu dibayar untuk memperjuangkan hak-hak Sabah!”

“Memandangkan betapa seriusnya tuduhan palsu dan berniat jahat ini, Kitingan berkata beliau berhak untuk meneruskan semua saluran undang-undang yang ada, termasuk tindakan undang-undang terhadap portal media tersebut kerana laporannya yang tidak bertanggungjawab dan merosakkan.

“Kitingan juga menjangkakan lebih banyak dakwaan palsu dan fitnah akan keluar dari mulut portal berita tersebut dan manipulasi politik lain.

“Beliau juga menjangkakan bahawa akan ada banyak fitnah dan tuduhan akan keluar menjelang pilihan raya. Tidak hairan kumpulan-kumpulan dan parti-parti tertentu akan berpesta dengan harapan berita palsu ini akan mengubah percaturan dan landskap politk di Sabah,” jelas Gilong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal