Friday, April 11, 2025

Tolak parti pembangkang: Rina

Rina (kanan) hadir di majlis bertemu komuniti India di Tawau.

Nilam Raon


TAWAU: Parti Harapan Rakyat SABAH (Harapan Rakyat) yang mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional menggesa pengundi menolak parti pembangkang yang disifatkannya sebagai tidak membawa kebaikan dan pembangunan yang diperlukan.
Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Rina Jainal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan berkata, tiada kebaikan menjadi pembangkang kerana mereka hanya mencari kelemahan dan kesalahan kerajaan.


“Mereka menuding jari mencari kesalahan sehingga pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat tidak terlaksana,” katanya di majlis bertemu komuniti India Tawau di sini pada Isnin. Sehubungan itu beliau menggesa pengundi membuat pilihan yang tepat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini pada 19 November. Katanya, rakyat diberi kuasa menentukan siapa pemimpin yang dipilih tetapi pastikan mereka boleh berkhidmat untuk rakyat dan bukan yang hanya tahu bercakap kosong tanpa tindakan.


“Kita semua mahu pulihkan negara selepas berlakunya pandemik Covid-19. Jadi kita harap PRU15 ini akan lancar dan kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan cara yang demokrasi,” tambahnya. Rina berkata jentera Harapan Rakyat akan membantu kempen calon GRS-BN bagi kerusi Kalabakan di kawasan Kukusan

Jelasnya, mereka mahu membantu calon GRS-BN untuk mendapat pembangunan berterusan. “Saya terbuka hati untuk membantu mereka yang ingin berkempen di kawasan Kukusan tetapi ianya bergantung kepada situasi semasa kerana keadaan politik ini macam ‘roller coaster’,” katanya lagi.

Beliau berharap, corak kempen pada PRU15 lebih matang dan berhemah serta tidak bersifat menghasut keterlaluan sehingga boleh memecah belahkan perpaduan.
Harapan Rakyat yang berpusat di Tawau dinaungi Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah adalah parti mesra kerajaan GRS-BN di peringkat negeri.

– TV Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights