KOTA KINABALU: 5 September 2025 – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing, melahirkan kebimbangan serius terhadap insiden kutipan bayaran haram untuk memasuki Pulau Timba-timba di Semporna, Sabah, dalam sebuah video yang tular baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan yang dipetik melalui laman rasmi Facebook beliau, Tiong menegaskan kerajaan negeri Sabah bersama pihak berkuasa berkaitan perlu segera mengambil tindakan tegas bagi membanteras amalan menyalahi undang-undang tersebut. Katanya, kelewatan bertindak hanya akan merosakkan reputasi pelancongan negeri, selain menjejaskan keyakinan pelancong dalam dan luar negara.
Pulau Timba-timba adalah tanah milik kerajaan negeri, justeru sebarang caj tanpa kebenaran dianggap menyalahi undang-undang. Tiong berkata, meskipun notis rasmi telah dikeluarkan sebelum ini bahawa tiada bayaran dikenakan, masih wujud kumpulan tertentu mengenakan caj sewenang-wenangnya terhadap pelancong, malah ada yang menggunakan ugutan.
Menurut beliau, insiden pergaduhan yang tercetus ekoran isu bayaran haram ini mendedahkan kelemahan penguatkuasaan dan menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan wujud kepentingan tertentu yang melindungi pihak terlibat.
Tiong memberi amaran bahawa kegagalan menangani isu tersebut berisiko mencemarkan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan utama, bahkan boleh menjejaskan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa sekiranya nasihat perjalanan dikeluarkan oleh negara luar.
Beliau turut menekankan bahawa kelewatan menyelesaikan isu ini akan terus membebankan pengusaha serta pemandu pelancong yang berdepan ancaman dan caj tidak sah, sekali gus menggugat kelangsungan industri pelancongan tempatan.
Katanya, pelancongan Sabah adalah aset negara yang tidak boleh dicemari oleh penguatkuasaan lemah atau sikap tidak peduli, dan perlindungan kepada pelancong perlu menjadi keutamaan.
Sumber: Facebook Dato’ Tiong King Sing