KOTA MARUDU: 10 Februari 2026 – Tiga lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencuri tong gas dan beras di dua buah kedai runcit, bulan lalu.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Marudu, kejadian kecurian itu dilaporkan berlaku pada 14 dan 28 Januari lalu, membabitkan kehilangan beberapa tong gas dan kampit beras.
Bertindak atas maklumat awam dan hasil siasatan, polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek pada 30 Januari. Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa turut merampas sebuah kereta Axia, tujuh tong gas dan lima kampit beras yang dipercayai barangan curi.
Semua suspek, iaitu Masli bin Asang, 29, Mohd Azuan bin Galpun, 30, dan Mohd Arif bin Jamal, 30, kemudian didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun terhadap ketiga-tiga tertuduh bagi kesalahan mencuri 10 tong gas. Manakala, kesalahan mencuri lima kampit beras, Masli dan Mohd Azuan dikenakan tambahan dua tahun penjara dengan hukuman berkenaan berjalan secara berasingan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Seanhilary Miting Pakoi.
Dalam pada itu, siasatan lanjut masih diteruskan berhubung kesalahan lain, termasuk memiliki dan menggunakan dadah serta penggunaan wang palsu.
Sumber: Polis Daerah Kota Marudu
