The Male-Efficient Tersenarai Antara Empat Koir Lelaki Terbaik Dunia

photo 2025 11 19 15 54 13

KOTA KINABALU: 19 November 2025 — Pengarah The Male-Efficient (TME), Encik Lesley George, menyatakan bahawa pengumuman mengenai kedudukan kumpulan itu sebagai salah satu daripada empat koir lelaki terbaik dunia telah mengejutkan seluruh ahlinya kerana mereka tidak menjangkakan sebuah koir komuniti dari Sabah mampu mencapai pengiktirafan setinggi itu di peringkat antarabangsa.

“Kami berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang pernah menyokong kami sejak awal, termasuk keluarga, rakan-rakan dan komuniti seni setempat.” Katanya.

photo 2025 11 19 15 54 21

Koir Lelaki (Male Choir) tempatan, The Male-Efficient (TME), yang ditubuhkan pada tahun 2015, terus mencatat sejarah apabila tersenarai di tempat ke-4 koir lelaki terbaik di dunia, sekali gus mengangkat nama Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa dalam bidang seni suara.

Cabaran terbesar TME ialah berkaitan dengan keahlian yang sering berubah-ubah dan menyebabkan proses untuk menguasai sesebuah lagu menjadi lebih sukar kerana latihan perlu diulang dan disesuaikan semula. Selain itu, komitmen masa, kewangan, dan pengorbanan peribadi setiap ahli juga merupakan cabaran yang perlu kami atasi. Untuk makluman semua, ahli kumpulan TME datang daripada pelbagai latar belakang kerjaya; ada yang bekerja syif dan masih belajar.

Selain itu, kos penyertaan pertandingan antarabangsa, termasuk penerbangan, penginapan dan yuran pertandingan, bukanlah kecil. “Sebagai contoh, apabila kami bertanding di luar negara seperti di Korea dan Denmark, kos penerbangan, penginapan, makan minum serta yuran penyertaan memerlukan belanja yang besar. Pengorbanan ahli amat diperlukan demi TME”, Katanya.

Kebanyakan ahli TME juga bermula tanpa kemahiran membaca not muzik, proses ini mengambil masa yang panjang, tetapi ia juga menjadikan setiap pencapaian TME lebih bermakna kerana ia terhasil daripada usaha yang konsisten.

TME juga menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKNS), pertubuhan-pertubuhan kesenian, syarikat GLC serta para penggiat seni koir yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan mereka.

TME menekankan pentingnya keikhlasan dan ketekunan dalam seni. Muzik adalah tonggak kepada minat dan komitmen ini. Muzik bukanlah tentang populariti. Muzik juga bukan suatu persaingan. Muzik itu universal, milik semua orang. Cintai muzik itu sendiri.“Sekiranya tersilap atau ada hari-hari apabila harmoni suara tidak menjadi, jangan putus asa. Itu semua adalah proses pembelajaran.”

photo 2025 11 19 15 54 16

Mereka berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah untuk terus mengejar cita-cita, walaupun bergerak perlahan. “It’s okay if you move slow, as long as you’re progressing,” ujarnya.

Kumpulan The Male-Efficient kini membuka sesi uji bakat sepanjang bulan November. Peluang itu dibuka kepada anak-anak muda yang berminat menyertai TME dan berkembang dalam dunia koir serta seni suara. Sebarang info lanjut bolehlah menghubungi pihak TME di laman sosial mereka di FB dan Instagram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal