KUALA LUMPUR: 22 November 2025 – Jason Jonathan Omar, dikenali sebagai Emcee Jason, menganjurkan The CONVERSATION, himpunan pengacara majlis profesional pertama di Malaysia, bertempat di B’york KL, 27 November 2025.
Program berprestij itu menghimpunkan pengacara-pengacara terkenal serta pakar industri bagi berkongsi pengalaman, pengetahuan dan perkembangan terkini dalam dunia pengacaraan majlis profesional.
Diilhamkan oleh konsep Emcees of Malaysia, inisiatif tersebut bertujuan menyatukan pengacara di seluruh negara selain membuka ruang kerjasama dan peluang kerjaya yang lebih luas dalam industri.

Sebagai penganjur utama, Jason menganjurkan program ini dengan sokongan beberapa pengacara dari Kuala Lumpur.
Menurutnya, penganjuran The CONVERSATION menjadi wadah penting untuk memperkasa pengacara majlis khususnya generasi baharu, di samping mengukuhkan jaringan profesional dalam komuniti berkenaan.
Program itu turut memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik, standard kerja serta trend semasa industri melalui perkongsian daripada pengacara berpengalaman dan tokoh industri.
Selain sesi pembelajaran, ia turut menekankan kepentingan solidariti dan kerjasama antara pengacara profesional di seluruh Malaysia.

Jason turut merancang memperluaskan penganjuran program tersebut dengan membawa edisi Borneo, yang bakal menghimpunkan pengacara profesional dari Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Labuan.
Penganjuran The CONVERSATION sekali lagi membuktikan bahawa anak muda Sabah mampu mencipta impak di peringkat nasional, seterusnya mengangkat pengacaraan majlis sebagai satu kerjaya profesional yang semakin berkembang.
