Terharu 2 juta undian, Adam ingin balas budi dengan 6 manifesto

d540b2ed 02c4 4d5f b342 94eaeff188b9

KOTA KINABALU: Terharu dengan sokongan luar biasa yang menghadiahkan hampir dua juta undian, pempengaruh media sosial kelahiran Penampang, Adam Shamil, 32, memilih untuk meraikan kejayaannya bersama rakyat menerusi pelancaran Manifesto Rakyat 2026.

Inisiatif yang merangkumi enam janji kebajikan, pendidikan dan penghargaan bernilai lebih RM100,000 itu diumumkan menerusi satu hantaran video di media sosialnya susulan kejayaan merangkul gelaran utama Creator of the Year Malaysia 2026, sekali gus menewaskan nama besar seperti Khairul Aming dan Sofyank.

Menurut Adam, kemenangan tersebut tidak memberi makna sekiranya hanya dinikmati seorang diri. Beliau terpanggil untuk membalas budi rakyat Malaysia yang telah mengangkatnya ke tahap ini.

Sebagai pembuka tirai manifesto tersebut, Adam menunaikan janji pertamanya dengan mengagihkan 1,000 keping croffle secara percuma kepada orang ramai di premis perniagaannya, Chunk&Dunk di Gaya Street, Kota Kinabalu, bermula jam 12 tengah hari.

Mengenang kembali kesempitan hidup sewaktu kecil apabila bekalan elektrik dan air di rumahnya sering dipotong akibat kekangan kewangan, beliau memperuntukkan RM15,000 bagi janji kedua untuk membantu keluarga kakitangan Chunk&Dunk melangsaikan bil utiliti tertunggak dan menampung keperluan asas mereka.

Dalam aspek pendidikan, Adam memperkenalkan The Adam Shamil Education Fund fasa pertama bernilai RM20,000 sebagai janji ketiga. Dana itu bakal memberi manfaat RM2,000 seorang kepada 10 pelajar terpilih bagi menampung kos pembelian komputer riba, buku rujukan atau yuran pengajian.

Diinspirasikan oleh pengorbanan nenek yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang, janji keempat beliau menyaksikan peruntukan RM10,000 disediakan bagi menyantuni dan membantu 10 orang warga emas yang memerlukan.

Adam turut menawarkan tiga sesi perkongsian ilmu dan pengalaman secara percuma bernilai anggaran RM36,000 untuk sebuah sekolah, sebuah universiti dan satu sesi terbuka kepada orang awam menerusi janji kelima. Janji keenam pula merupakan pengisytiharan rasmi makan percuma seumur hidup di premisnya buat dua insan terpenting dalam hidupnya, iaitu ibu dan neneknya sendiri.

Bagi inisiatif dana pendidikan, sumbangan warga emas dan sesi perkongsian ilmu, beliau mempelawa orang ramai dan para pelajar berkongsi kisah atau cadangan mereka di ruangan komen hantaran video tersebut untuk dinilai dan dipilih sendiri olehnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal