KOTA KINABALU : 28 April 2026 — Penyanyi berbakat dari Sabah, Elica Paujin, kembali dengan single terbaharu berjudul Terbaik Untukku, sebuah lagu berkonsepkan pop balada yang sarat dengan emosi dan kejujuran perasaan.
Menurut Elica, lagu tersebut diinspirasikan oleh pengalaman peribadi dan kisah orang sekeliling tentang keperitan melepaskan sesuatu yang disayangi demi kebaikan bersama.
“Kadang-kadang yang terbaik bukanlah untuk memiliki, tetapi untuk melepaskan dengan ikhlas,” jelasnya.
Lagu ini membawa mesej tentang kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan kepercayaan bahawa setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.
Dengan pendekatan lirik yang mendalam, “Terbaik Untukku” diharap dapat menjadi peneman kepada pendengar yang sedang melalui fasa sukar, khususnya berkaitan kehilangan dan perpisahan.
Dari segi penghasilan, proses bermula dengan idea melodi dan lirik yang lahir dari emosi yang tulus. Susunan muzik kemudiannya dikembangkan bagi memastikan penyampaian perasaan lebih menyentuh hati.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi kreatif antara Elica bersama Ryenald Guntabid dan Wan Muazzam Faiz sebagai komposer, selain penulisan lirik oleh Elica, Ryenald dan Melaka Boy.
Dari sudut produksi, sentuhan Mr Prashan Chittyserta Irwan Simanjuntak membantu membentuk identiti unik lagu ini.
Mengulas cabaran sepanjang proses rakaman, Elica mengakui aspek paling mencabar adalah menyampaikan emosi yang mendalam kerana lagu ini bersifat “raw” dan memberi penekanan kepada kekuatan lirik serta penghayatan.
“Saya perlu benar-benar menyelami setiap bait lirik supaya mesejnya sampai kepada pendengar,” katanya.
Elica turut berharap lagu ini mampu menyentuh hati peminat dan menjadi sumber kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan detik sukar dalam kehidupan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan beberapa projek baharu sedang dirancang, termasuk penghasilan lagu berbahasa Dusun. Walaupun akan terus mengekalkan identiti pop balada yang sinonim dengannya, Elica juga terbuka untuk meneroka genre muzik yang lebih segar dan rancak pada masa hadapan.
