TELUPID: 8 Ogos 2025 – Perhimpunan Bulanan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telupid/Tongod yang diadakan hari ini di Dewan Mahanin Osman, SMK Telupid turut menyaksikan pelancaran Bulan Kebangsaan PPD Telupid/Tongod 2025, dengan seruan memperkasa semangat patriotisme dalam kalangan warga pendidikan.
Majlis disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Telupid/Tongod, Albert Andau Paulus Andau, yang menekankan kepentingan menghayati nilai cinta terhadap tanah air dalam kalangan warga pendidik, pelajar, dan komuniti sekolah.
“Bulan Kebangsaan bukan sekadar simbolik, tetapi medan untuk membina jati diri, memupuk perpaduan dan memperkukuh tanggungjawab sebagai warga negara,” ujar beliau dalam ucapannya.
Albert turut mengajak semua sekolah di bawah pentadbiran PPD Telupid/Tongod untuk menganjurkan sekurang-kurangnya satu aktiviti patriotik yang kreatif dan berimpak sepanjang bulan kebangsaan.
Katanya, aktiviti sedemikian bukan sahaja membina semangat cintakan negara tetapi juga memupuk integrasi sosial dalam kalangan murid pelbagai latar belakang.
Berasaskan tema tahun ini “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” beliau menyeru supaya ia benar-benar dihayati di semua peringkat sama ada guru, murid mahupun komuniti, selaras dengan hasrat mengukuhkan lagi semangat kebangsaan.
Majlis turut dihadiri oleh 40 kakitangan PPD termasuk Ketua PPD, para timbalan dan penolong pegawai, 33 pengetua, guru besar dan guru-guru, serta wakil pendidikan swasta dan pelajar latihan industri.

Antara matlamat utama sambutan Bulan Kebangsaan di peringkat daerah ialah meningkatkan kesedaran sejarah dan nilai kemerdekaan, menyemai identiti nasional, serta menggalakkan penggunaan bahasa dan warisan budaya dalam kehidupan seharian.
Sebagai strategi memperkasa semangat patriotik, PPD Telupid/Tongod juga menyasarkan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pendidikan sejarah, penglibatan aktif dalam program kebangsaan, peranan ibu bapa sebagai teladan, dan kerjasama media dalam menjayakan kempen kesedaran.
Melalui kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, dan masyarakat setempat, PPD Telupid/Tongod komited memastikan penghayatan nilai kebangsaan terus subur demi melahirkan generasi Malaysia yang beridentiti dan berjiwa patriotik.