Teknologi, sains sukan dan sikap pemain kunci kebangkitan bola sepak Sabah – Masidi

55D184A1 391D 477E B8AF D9BDDD9027BD 45B6E4C9 A8BF 433C 8CBB ED0C951A8731

Oleh: Roodwill

KOTA KINABALU: 14 Oktober 2026 – Penggunaan teknologi moden termasuk kamera berasaskan kecerdasan buatan (AI), peralatan pemantauan prestasi dan pendekatan sains sukan mampu meningkatkan keberkesanan latihan dan pembangunan bakat muda bola sepak Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun semasa perasmian program “Coca-Cola: Bina Juara”di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) kelmarin.

Beliau berkata teknologi membolehkan jurulatih menilai prestasi pemain dengan lebih tepat, mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki dan merancang latihan lebih berkesan.

“Penerapan sains sukan bersama teknologi moden dapat membantu pemain memahami perkembangan prestasi masing-masing, sekali gus meningkatkan kualiti latihan dan keupayaan mereka untuk bersaing pada tahap lebih tinggi,” katanya ketika merasmikan program Coca-Cola: Bina Juara di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, kemajuan teknologi dalam sukan perlu dimanfaatkan pemain peringkat akar umbi, termasuk di kawasan luar bandar, supaya lebih ramai bakat muda mendapat akses latihan dan bimbingan berkualiti.

Beliau menekankan peningkatan pengetahuan dan kemahiran jurulatih agar teknologi dapat diterjemahkan menjadi kaedah latihan lebih berkesan. Kerjasama kerajaan, institusi pendidikan, persatuan sukan dan komuniti penting untuk memastikan pembangunan teknologi sukan memberi manfaat berterusan untuk pemain muda Sabah.

Mengulas sokongan kerajaan, Masidi berkata kepada wartawan, Kerajaan Negeri Sabah sedia mempertingkatkan bantuan terhadap pembangunan sukan tempatan, tetapi dana kewangan sahaja tidak mencukupi tanpa penyepaduan sains sukan, teknologi moden dan perubahan sikap atlet.

“Pemain bola sepak kita bukan tidak ada kemampuan, tetapi pasukan luar menggunakan teknologi dan sains sukan untuk menambah baik keupayaan mereka setiap kali turun bertanding.

“Kita mempunyai keupayaan fizikal yang kuat, tetapi kita kekurangan teknologi dan alatan khusus yang diperlukan untuk menjadikan mereka lebih baik atau beraksi dengan lebih cemerlang,” katanya.

Mengenai peruntukan kewangan, Masidi mendedahkan dana pembangunan sukan telah dinaikkan berkali-kali kerajaan negeri.

“Jumlah peruntukan kewangan sahaja tidak cukup. Yang penting ialah bagaimana peruntukan itu digunakan untuk membangunkan prestasi.

“Perlu ada cara efektif untuk memastikan setiap satu ringgit yang dilabur kerajaan bukan sahaja dibelanjakan dengan baik, tetapi mampu meningkatkan prestasi atlet,” jelas beliau.

Beliau memuji inisiatif program “Coca-Cola: Bina Juara” dan berharap penganjur bersama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) atau badan berkaitan merangka program susulan secara sistematik demi manfaat jangka panjang untuk pemain semi-profesional Sabah.

Meskipun sokongan kerajaan, ketersediaan teknologi dan dana penajaan memainkan peranan besar, Masidi mengingatkan penentu sebenar kejayaan pasukan tetap terletak pada disiplin dan mentaliti individu.

“Pada akhirnya, sama ada kita menjadi juara atau tidak, ia bergantung pada pemain sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan faktor sikap pemain adalah kunci paling kritikal dalam membina pasukan bola sepak yang kuat untuk negara, di sebalik sokongan jurulatih, teknologi dan penaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal