Tuesday, December 24, 2024

Tawau dapat sokongan ‘Super Senior’

Lo (tengah) bersama Syed Abas (kiri) ketika temuramah bersama media di Tawau.

Nilam Raon

TAWAU: Lo Su Fui calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tawau bukan sahaja mendapat sokongan pemimpin dan akar umbi parti malah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung juga turun padang membantunya berkempen.

ADUN Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) dianggap ‘super senior’ dalam arena politik di Sabah.

Beliau hadir memberi sokongan padu kepada calon GRS bersama-sama dengan penduduk sepanjang sesi temuramah bersama media di sini pada Isnin.

Lo ketika ditemui media memberitahu, kempennya juga mendapat sokongan daripada bekas pemimpin dan Ketua Bahagian Bersatu Tawau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Adun Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang melancarkan pergerakan kempennya.

Ketika sidang media, Lo yang juga Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri meminta pengundi bagi kerusi itu bertanya tiga soalan sebelum memilih calon yang akan diundi pada 19 November.

“Saya mahu pengundi bertanya kepada diri sendiri tiga soalan. Soalan pertama ialah adakah calon ini tahu masalah di Tawau, kedua adakah calon tahu penyelesaian masalah di Tawau dan yang ketiga adakah calon ini boleh memajukan Tawau,” katanya.

Menurutnya, jika dipilih menjadi pemimpin di kawasan itu beliau akan menukar status pembangunan Tawau dari bandar kecil menjadi bandar yang lebih besar.

“Misi saya mahu menaiktaraf infrastuktur di Tawau supaya lebih ramai pelabur datang di daerah ini. Ini akan membantu penduduk tempatan dari segi ekonomi,” katanya.

Parlimen Tawau menyaksikan persaingan enam penjuru iaitu Lo Su Fui (GRS), penyandang kerusi Datuk Christina Liew Chin Jin (Pakatan Harapan), Chenn Ket Chuin (Warisan), Herman Amdas (Pejuang) dan dua calon Bebas Chin Chee Syn dan Mohd Salleh Bacho.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights