Tangon II: Mengangkat Martabat Cerita Tradisi KDMR Melalui Lagu

KOTA KINABALU: Selepas kejayaan Tangon yang pertama, Dabra Sia kembali dengan sekuel karya unik itu dalam Tangon II.

Dengan sentuhan daripada rakan kolaborator Tuni Sundatang, Dabra meneruskan misi mengetengahkan untuk warisan budaya Kadazan Dusun dalam bentuk yang lebih segar, relevan dan penuh penghayatan jiwa.

Kelahiran Tangon II merupakan satu usaha berterusan untuk memberi ruang kepada puisi, cerita rakyat, dan elemen tradisi yang belum pernah diceritakan secara meluas.

“Masih banyak cerita yang belum diceritakan,” ujar beliau ketika ditanya mengenai sebab di sebalik penerbitan Tangon II.

Baginya, Tangon II bukan sekadar lagu – ia adalah pentas penceritaan budaya, satu wadah bagi generasi muda dan masyarakat umum mengenali serta menghargai keunikan budaya tempatan.

Inspirasi utama Tangon II diambil daripada naskhah tulisan Ree John Daulip bertajuk Sundu Doh Bambarayon.

Dabra menjelaskan bahawa kisah “Sundu Bambarayon” dipilih kerana ia sangat bertepatan dengan semangat dan tema musim Kaamatan, sambil turut menonjolkan puisi Andayayong, yang kaya dengan unsur estetika lisan dan kesenian warisan.

Walaupun sudah berjaya mencipta impak melalui gabungan genre moden dan garapan muzik tradisi daripada Tangon, konsep ini terus digunakan dalam Tangon II.

“Bagi saya itu sememangnya kekuatan dan keistimewaan gabungan saya dan Tuni Sundatang. Kami merasakan untuk perlu menguatkan lagi genre itu supaya ia akan menjadi identiti kami yang akan orang kenal dan akan biasa dengar sebelum kami tonjolkan sisi genre yang lain di dalam lagu kami yang lain.” kata Dabra.

Kepelbagaian rasa pada Tangon II akan menjadi tarikan istimewa dalam kalangan peminat.

Setiap susunan muzik dibentuk dengan teliti agar mampu menyampaikan alunan emosi yang pelbagai – dari rentak rancak ke suasana yang mendayu, daripada sentuhan pop ke getaran rock yang halus, semuanya tanpa meninggalkan unsur puitis yang menjadi jiwa karya ini.

Antara lain, Dabra juga menitikberatkan aspek visual melalui muzik video yang berkualiti tinggi, sebagai cerminan bahawa muzik tradisional tempatan juga layak duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan produksi antarabangsa.

Secara keseluruhan, Tangon II adalah manifestasi cinta terhadap budaya sendiri, digarap dalam bentuk moden tanpa mengorbankan nilai tradisi. Ia bukan sekadar kesinambungan dari karya terdahulu, tetapi juga satu deklarasi bahawa masih banyak yang boleh ditampilkan pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal