Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA BELUD: 19 Oktober 2026 — Tamu Besar Kota Belud terus menjadi wadah perpaduan masyarakat pelbagai kaum sekali gus mengukuhkan sektor pelancongan Sabah menerusi keunikan budaya tempatan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata tamu berusia 148 tahun itu bukan sekadar pusat jual beli, malah menjadi medan pertemuan sosial masyarakat setempat.
“Melalui semangat perpaduan yang utuh di tamu ini, kita membuktikan bahawa kepelbagaian kaum di Sabah ialah kekuatan terbesar untuk terus maju bersama-sama menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Menurutnya, tradisi itu perlu dipelihara mengikut tuntutan semasa supaya kekal relevan kepada generasi akan datang.
Tamu berkenaan turut mengetengahkan makanan tempatan, kraftangan dan budaya setempat sekali gus membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil, petani, penternak dan pengusaha inap desa.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Tamu Besar Kota Belud 2026 di Tapak Tamu Minggu Kota Belud, Sabtu.
Kota Belud turut menawarkan pengalaman pelancongan menerusi tarikan pulau, sungai, rekreasi dan alam semula jadi. Daerah itu menjadi sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak Mei 2023.
Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur asas menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Pelan Pembangunan SMJ 2.0.

