Oleh: Nurul Fazliana Norman
LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan polis selepas dadah disyaki syabu seberat 51.55 gram dirampas dalam Op Tapis di Jalan Lahad Datu–Sandakan, pada 12 November lalu.
Suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kira-kira jam 7.10 malam. Dia cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dijalankan sehingga berlaku pergelutan dengan anggota operasi.
Hasil pemeriksaan beg silang milik suspek menemukan tujuh paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu dengan anggaran nilai RM3,000.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebilah gunting dan sebuah pemetik api. Sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR turut disita untuk siasatan lanjut.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Siasatan lanjut diteruskan untuk mengenal pasti sumber bekalan dan rangkaian pengedaran dadah yang terlibat.
Sumber: Polis Daerah Lahad Datu
