Surau Taman Airport bakal dimanfaat 1,000 muslim

SANDAKAN: Kira-kira 1,000 Islam bakal memanfaatkan Surau As-Sakinah yang terletak di Taman Airport Batu 7 di sini, apabila ia siap dibina nanti.
Ketua Umno Bahagian Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, projek pembinaan surau bernilai RM355,000 ini akan dibuat pada bila-bila masa sahaja kerana peruntukan sudah disalurkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan.
“Saya berharap pembinaan surau ini mampu mengembangkan lagi syiar Islam di Taman Airport dari masa ke semasa.
“Saya mahu pengerusi dan ahli jawatankuasa Surau As-Sakinah mencari inisiatif, memohon satu lokasi lebih luas dengan pemaju perumahan agar menaik taraf surau kepada masjid berikutan pertambahan penduduk pada masa akan datang,” jelasnya.
Beliau berucap di majis pecah tanah pembinaan Surau As-Sakinah di Taman Airport pada pag Ahad. Turut hadir Adun Sungai Sibuga, Datuk Hamsan Awang Supain.
Suhaimi berkata, pihaknya bersedia menyumbang untuk fasiliti surau As-Sakinah seperti karpet, pembesar suara dan sebagainya.
Suhaimi yang juga calon Libaran berkata, selain pembinaan surau tersebut, pelbagai fasiliti awam di kawasan Parlimen Libaran akan diperbaiki terutamanya pasar awam Taman Fajar yang menjadi lokasi peniaga Bumiputera.
Sementara itu, penduduk Taman Airport yang diwakili oleh Pengerusi AJK Penaja Surau As-Sakinah, Mohd Hafiz Zuraimy Damsah berharap pembinaan surau Taman Airport ini dapat direalisasikan tahun ini setelah tiga kali memohonnya.
“Sekiranya surau ini didirikan, penduduk Taman Airport tidak lagi ke Surau di PPR Taman Masjid Taman Fajar atau Kem Tentera. Kita juga akan pelbagaikan pengisian di surau ini dalam konteks fardu ain dan fardu kifayah untuk kepentingan penduduk,” katanya.
– Tv Sabah News