KOTA KINABALU: 2 April 2026 – Susulan laporan kekurangan bekalan beras minggu lalu, isu stok beras dibincang dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar di Wisma Pertanian, hari ini.
“Terdapat rakan-rakan wakil rakyat masih menghantar gambar dan video kekurangan beras di kedai-kedai yang mereka kunjungi,” katanya.
Justeru, mesyuarat itu bertujuan mendapatkan gambaran sebenar perkembangan semasa dan mengenal pasti langkah penyelesaian.
Jamawi turut memaklumkan bahawa Ketua Menteri telah mengarahkannya untuk memeriksa dan memastikan bekalan beras, khususnya Stok Penimbal (Stockpile), mencukupi bagi tempoh enam bulan.
Kabinet Negeri turut mengamanahkan beliau memastikan keterjaminan makanan termasuk kecukupan bekalan dan kawal selia beras melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS).
Bagaimanapun katanya, LPBS tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan terhadap isu penyorokan atau penyeludupan.
Tambahnya, BERNAS dan Bahagian Kawal Selia memantau stok, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) bertanggungjawab menguatkuasa harga dan menangani pencatutan.
Selain itu satu lagi pertemuan bersama pemain industri dan pembekal padi akan diadakan pada 7 April ini.
