CYBERJAYA: 24 September 2025 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya seorang timbalan pendakwa raya (TPR) direhatkan dari menjalankan tugas susulan siasatan polis berhubung kes dadah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau telah melaporkan perkara itu kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan mencadangkan agar pegawai terbabit direhatkan sementara siasatan dijalankan.
Menurutnya, pegawai berkenaan baru sahaja melapor diri di SPRM sebagai pegawai sokongan dari AGC, manakala kes itu kini disiasat sepenuhnya oleh polis.
Azam menegaskan, SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan, dan jika ada asas kes, ia akan dibawa ke mahkamah.
Mengulas mengenai tapisan terhadap pegawai tersebut, beliau menjelaskan perkara itu di bawah bidang kuasa AGC dan menjangka pegawai terbabit sudah melalui proses saringan termasuk ujian dadah, namun tindakan yang berlaku dipercayai berpunca dari perbuatannya sendiri.
Terdahulu, media melaporkan SPRM menyerahkan kepada polis berhubung tangkapan seorang timbalan pendakwa raya agensi itu berkaitan kes dadah.
Sumber: Harian Metro
