Kredit: Steve George
Oleh: Nurul Fazliana Norman
RANAU: 23 Julai 2026 – Ibu bapa dari pelbagai daerah hadir memberikan sokongan kepada anak-anak yang bertanding pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSS Sabah) 2026 di Kompleks Sukan Ranau, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada atlet muda.
Bagi Suanu dari Kampung Bundu Tuhan, Ranau, kehadirannya adalah untuk memberi sokongan kepada cucunya yang mewakili Kota Kinabalu dalam acara 4×100 meter bawah 12 tahun.
“Saya selalu beri dia dorongan. Memang setiap pertandingan ada menang dan ada kalah, yang penting jangan putus asa dan teruskan usaha untuk masa akan datang,” katanya.
Suanu berkata, beliau yang pernah mewakili daerah Ranau dalam acara 400 meter, 800 meter dan 1,500 meter ketika di bangku sekolah berharap cucunya dapat mengembangkan bakat sehingga ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Hamidah Hamzah dari Felda Umas, Tawau berkata, beliau sanggup menempuh perjalanan jauh bersama keluarga untuk memberi sokongan kepada anaknya dan kontinjen Tawau.
“Nasihat saya, jangan putus asa. Kalau menang, kita bersyukur, kalau belum berjaya teruskan berusaha sebab mereka sudah penat berlatih,” katanya.
Menurutnya, anaknya yang baru berusia 10 tahun menjadikan penyertaan di MSS Sabah kali ini sebagai pengalaman untuk meningkatkan prestasi pada masa hadapan.
Sementara itu, Bibirah Sangkalon dari kontinjen Keningau menyifatkan MSS Sabah sebagai platform penting dalam mencungkil bakat atlet muda dari seluruh negeri.
“Kalau berjaya, syukur. Kalau tidak berjaya, saya harap usaha lagi, teruskan usaha lebih bersungguh-sungguh dan diikuti dengan doa,” katanya.
Beliau berkata, komitmen jurulatih dan guru dalam menyediakan latihan turut memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan atlet muda.

