KOTA KINABALU: 30 Januari 2026 – SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030 fokus tingkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekononomi negeri sebagai kesinambungan SMJ 1.0 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pemulihan dan penstabilan negeri selepas pandemic Covid-19 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian dalam Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC), hari ini.
“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan. Ia bukti komitmen kerajaan memimpin perubahan dalam dunia yang bergerak pantas, dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global. SMJ 2.0 dirangka melalui libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia dan seluruh lapisan rakyat,” katanya.
Menurut Hajiji, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion, tertinggi dalam sejarah Sabah, bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 dan aspirasi Malaysia MADANI.
Katanya, pelan itu disusun berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.

“SMJ 2.0 digerakkan berasaskan empat tonggak utama, iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, dengan lima objektif utama merangkumi pembinaan masyarakat bersatu, pengoptimuman hasil negeri, kepelbagaian ekonomi, peningkatan ekonomi rakyat dan pembangunan modal insan,” katanya, seperti komitmen dalam manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17.
Ketua Menteri menegaskan, pelan itu digerakkan melalui tiga teras utama iaitu; Sektor Pertumbuhan Ekonomi yang memberi fokus kepada Perindustrian, Pelancongan dan Pertanian. Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, termasuk pendidikan, TVET, SEM, latihan pertanian dan digital. Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, merangkumi infrastruktur asas, tenaga lestari dan alam sekitar.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor meneliti buku Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Menurutnya, ketiga-tiga teras itu disokong tumpuan kepada Ekonomi Biru, Pendigitalan AI, dan Pembangunan Inklusif, serta dipacu oleh lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti, dan kerajaan digital.
Dalam sektor perindustrian, Hajiji berkata, Sabah berjaya menarik pelaburan puluhan bilion ringgit, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP), Sipitang, dijangka mewujudkan 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan industri keluli di Sabah.
Selain itu katanya, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, disamping merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat untuk Ekonomi Biru, manakala dua taman baharu di Kota Belud–Kota Marudu dan Beaufort–Kimanis dirancang bagi memperluas peluang pembangunan wilayah.
Jelasnya, Inisiatif SME-UP mensasarkan 600 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), termasuk pembangunan sistem data perkilangan dan Program Sabah Ready to Eat (RTE) untuk memperluas pasaran produk tempatan.
Sementara itu katanya, sektor pelancongan menunjukkan pemulihan yang amat memberangsangkan, dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun.
Justeru katanya, seiring Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, kerajaan menumpukan pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, acara antarabangsa dan piawaian perkhidmatan global termasuk ASEAN Tourism Standard menjelang 2030.
Menurutnya, pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar diberi perhatian melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMK-13.

Hajiji berkata, sektor pertanian kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0, merangkumi tanaman, ternakan dan perikanan, dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMK-13.
“Sasaran tahap sara diri (SSL) beras meningkat dari 30% ke 60% menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta, dan pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran.
“Sub sektor ternakan menyasarkan 25% SSL ruminan menjelang 2030 melalui Program Perladangan Kontrak, manakala perikanan dipacu melalui Ekonomi Biru Sabah dengan peningkatan pendaratan ikan, pelabuhan dan pembangunan rantaian hiliran”, tegasnya

