”Skrip bukan milik seorang”- Bengkel SAFVA buka paradigma penulisan filem Sabah

photo 2026 06 26 21 52 00

KOTA KINABALU: 26 Jun 2026 – Bengkel “Dari Skrip ke Pawagam: Kaedah dan Proses” anjuran Persatuan Filem & Visual Sabah (SAFVA) berjaya membuka perspektif baharu kepada peserta mengenai kepentingan kolaborasi dalam menghasilkan karya berkualiti, sekali gus menyemarakkan semangat untuk memajukan industri kreatif tempatan.

Dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam, Dekan Akademik Seni dan Teknologi Kreatif, Universiti Malaysia Sabah (UMS), bengkel itu memberi pendedahan tentang proses penulisan skrip, pembangunan idea dan perjalanan sesebuah karya sehingga diterjemahkan ke visual.

photo 2026 06 26 21 52 13

Seorang peserta, Livya, 46, dari Kota Marudu berkata, sesi tersebut mengubah pemahamannya terhadap dunia penulisan skrip yang bukan hanya bergantung kepada seorang penulis, sebaliknya memerlukan kerjasama dan perkongsian idea untuk menghasilkan naskhah yang lebih bermutu.

“Apa yang saya belajar hari ini ialah skrip itu bukan milik seorang. Skrip itu akan jadi lebih hidup bila dikongsikan dengan semua orang,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak platform diwujudkan untuk membolehkan penulis berkongsi hasil karya dan pengalaman, serta program seperti Mentor Skrip diperkenalkan untuk membimbing bakat-bakat baharu dalam industri dan menarik minat orang ramai.

photo 2026 06 26 21 52 09 edited

Peserta dari Ranau, Nasha, 29, berkata bengkel berkenaan memberinya pendedahan tentang teknik menghasilkan skrip yang lebih berkesan dengan mengolah pengalaman dan emosi ke dalam penulisan.

“Saya belajar cara untuk menulis skrip dengan bagus dan saya juga belajar cara untuk menulis skrip menggunakan pengalaman dan juga perasaan,” katanya.

Menurutnya, pembangunan industri filem tempatan memerlukan sokongan berterusan dari masyarakat agar lebih banyak karya tempatan dapat dihasilkan dan mendapat perhatian.

“Pada masa hadapan, saya harap industri ini akan lebih maju dan lebih ramai orang tempatan akan menyokong industri filem tempatan,” tambahnya, sambil mencadangkan agar lebih banyak program seperti sesi meet and greet bersama pelakon dan kru produksi serta tayangan khas diadakan demi merapatkan hubungan antara penggiat industri dan masyarakat.

photo 2026 06 26 21 52 04 edited

Penganjuran bengkel tersebut mencerminkan komitmen SAFVA dalam membangunkan modal insan industri kreatif Sabah, selain menyediakan ruang kepada penulis baharu untuk menimba ilmu, berkongsi idea dan membina jaringan yang mampu memperkukuh ekosistem industri filem tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal