Siti Nur Hanisah Omar Hashim, 20, pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya disenaraikan sebagai salah seorang daripada 50 finalis Global Student Prize 2025.
Anugerah berprestij tajaan Varkey Foundation yang berpangkalan di United Kingdom bersama Chegg.org, menawarkan hadiah utama berjumlah USD 100,000 (RM 4,000,00.00) kepada seorang pemenang dan dianggap sebagai anugerah pelajar paling berprestij di dunia.
Pada tahun 2025, anugerah ini telah menerima lebih daripada 11,000 pencalonan dari seluruh dunia, dan Hanisah merupakan satu-satunya wakil dari Malaysia, dengan itu menjadikan pengiktirafan itu amat membanggakan.
Hanisah Omar terpilih sebagai finalis berdasarkan pencapaian, sumbangan, dan impaknya yang signifikan kepada pelajar lain dan komuniti pendidikan.
Beliau adalah pengasas Mearpet, sebuah perusahaan sosial inovatif yang mengitar semula pakaian dan patung terpakai untuk dijadikan boneka. Boneka-boneka ini kemudiannya digunakan sebagai alat bantu mengajar yang menghiburkan dan mendidik kanak-kanak.
Inisiatif Mearpet ini telah meraih pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk kemenangan wang tunai berjumlah RM3000 melalui pertandingan Pitchbah yang dianjurkan oleh kelab belia OOZE pada tahun 2023, serta geran YouthMADE Festival Amplify Grant dari Digital Promise yang berpusat di Amerika Syarikat pada tahun 2025. Projek ini juga pernah dipaparkan di saluran televisyen DidikTV KPM pada awal tahun 2025.
Selain kejayaan Mearpet, Hanisah juga aktif dalam memajukan ekosistem keusahawanan sosial di kolejnya.
Beliau telah menganjurkan bengkel dan pertandingan perusahaan sosial yang telah menginspirasi ramai pelajar untuk membangunkan projek sosial mereka sendiri.
Inisiatif-inisiatif pelajar ini merangkumi kelas bimbingan bahasa isyarat, kempen pengurangan sisa makanan, dan inovasi permainan berasaskan bahan-bahan terbuang. Projek-projek ini juga telah memenangi pelbagai pertandingan seperti Social Project Challenge anjuran myHarapan dan Yayasan Telekom Malaysia.
Kecemerlangan Hanisah tidak terhad kepada bidang keusahawanan sosial. Beliau juga seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, dengan anugerah pelajar terbaik diraih setiap tahun.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai naib presiden majlis persatuan pelajar di kolejnya. Di samping itu, Hanisah telah merintis projek kelas tutorial Malaysian University English Test (MUET) bagi pelajar kolej vokasional yang ingin melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
Hanisah juga terlibat dalam projek pengantarabangsaan Virtual, Remote, Live (VRL) yang melibatkan sesi pembelajaran dalam talian merentas benua.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Lumang anak Lang, menzahirkan rasa bangga dan terharu dengan pencapaian Hanisah Omar. Beliau menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti nyata bahawa kolej vokasional di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia mampu melahirkan pelajar yang cekap, berkebolehan, bercita-cita tinggi, dan berbakti kepada masyarakat.
“Pencapaian Hanisah membuktikan bahawa sistem pendidikan vokasional mampu menghasilkan individu yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal, tetapi juga mempunyai jiwa kepemimpinan dan semangat untuk memberi impak positif kepada masyarakat,” ujar Lumang.
Dengan statusnya sebagai finalis Global Student Prize 2025, harapan kini diletakkan di bahu Hanisah untuk mengharumkan lagi nama Malaysia di persada antarabangsa. Kejayaan beliau adalah inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha dan menyumbang kepada masyarakat.
Sumber: Global Teacher Prize