KUALA LUMPUR: 7 September 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pelacuran warga asing yang beroperasi di sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Jalan Ipoh, dalam satu operasi khas yang membawa kepada penahanan 37 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 33 wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40-an disyaki bekerja sebagai pelacur, manakala bakinya adalah lelaki yang dipercayai terlibat menguruskan kegiatan tersebut.
Siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak September tahun lalu dengan menjadikan bilik hotel sebagai lokasi transaksi seks.
Pelanggan direkrut melalui aplikasi WhatsApp serta pendekatan ‘walk-in’, dengan bayaran antara RM250 hingga RM400 sejam.
Turut ditemui dalam serbuan ialah buku catatan transaksi serta beberapa telefon bimbit yang digunakan untuk menguruskan tempahan pelanggan.
Wanita yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, India, Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Laos. Sebahagian daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala ada yang menyalahgunakan pas pelarian serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Selain itu, tujuh lelaki tempatan turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut JIM, operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membanteras sindiket pelacuran yang bukan sahaja melanggar undang-undang imigresen tetapi juga memberi kesan buruk kepada imej industri pelancongan negara.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Sumber: MalaysiaGazette, Sinar Harian