Sindiket ‘call centre’ diserbu Imigresen, 98 individu ditahan

photo 2026 10 08 15 40 38

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KUANTAN: 9 Oktober 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 98 individu termasuk 95 warga asing dalam serbuan ke sebuah pusat peranginan yang dijadikan lokasi operasi sindiket ‘call centre’ di Jalan Sungai Arang, Sungai Lembing, di sini, pada 5 Oktober lalu.

Operasi khas bermula kira-kira jam 12.50 tengah hari itu dijalankan hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Dari jumlah berkenaan, 89 warga asing merupakan warganegara China, diikuti Myanmar (dua), Indonesia (dua), Hong Kong (satu), Vietnam (satu), Kemboja (satu) dan Rusia (satu).

Turut ditahan tiga warga tempatan pemilik dan pekerja di pusat peranginan itu. Beberapa warga asing dan tempatan cuba bersembunyi, melarikan diri, namun berjaya dikesan dan ditahan.

JIM turut menyita 49 pasport China, masing-masing satu pasport Myanmar, Kemboja, Indonesia, Hong Kong, Rusia dan satu Surat Perjalanan Laksana Pasport Indonesia (SPLP).

Turut dirampas 100 telefon bimbit, 120 set komputer meja, satu kamera litar tertutup, sembilan bungkus kad SIM yang belum digunakan, wang tunai RM5,000 dan 11 set peralatan Starlink yang dipercayai digunakan sebagai talian internet.

Menurut JIM, sindiket itu menggunakan pusat peranginan yang telah ditutup untuk mengaburi pihak berkuasa dan dipercayai berpindah-randah dari satu negara ke negara lain.

Sindiket itu beroperasi 24 jam secara syif dan telah menjalankan kegiatan berkenaan sejak tiga bulan lalu.

Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 75 tahun dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Sebahagian warga asing ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, tiga warga tempatan ditahan kerana kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

JIM menegaskan komitmen untuk meneruskan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas untuk membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal