Seorang Maut dan Seorang Cedera Parah Dalam Kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen

Share the news

Foto – Sinar Harian

KOTA KINABALU: 23 Jun 2025 – Satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia  dan dua pejalan kaki, di Jalan Tun Fuad Stephen, berhampiran Teluk Likas, Kota Kinabalu, telah mengakibatkan satu kematian di tempat kejadian.

Kenyataan rasmi dari pihak Polis mengatakan kejadian tersebut berlaku sekitar 9.45 pagi, membabitkan sebuah motokar jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 55 tahun.

Kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Likas melalui lorong kanan jalan sebelum melanggar dua orang pejalan kaki perempuan berusia 12 dan 7 tahun, yang dipercayai melintas secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan.

Akibat perlanggaran itu, seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Likas dalam keadaan stabil.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada hari yang sama.

Pemandu tidak mengalami kecederaan dan tidak disyaki berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Namun, sampel darah telah diambil untuk analisis toksikologi di Jabatan Kimia.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang merujuk kepada kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Brymenedren Godon di IPD Kota Kinabalu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, pihak polis turut menasihatkan ibu bapa serta penjaga agar sentiasa memastikan keselamatan anak-anak ketika melintas jalan, terutama di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan lintasan selamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal