Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KENINGAU: 7 Oktober 2026 – Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan selepas memiliki tiga paket plastik pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur disyaki syabu seberat 54.72 gram bernilai RM6,019 di Sook.
Suspek ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Keningau kira-kira jam 12.05 tengah malam di tepi Jalan Batu 27, Jalan Keningau-Nabawan.
Hasil pemeriksaan terhadap Ford Ranger putih dipandu suspek menemukan tiga paket plastik disyaki syabu.
Pemeriksaan dalam kenderaan turut menemukan sebilah pedang yang disembunyikan di belakang tempat duduk penumpang.
Polis turut merampas sebuah Ford Ranger bersama wang tunai RM2,000.
Suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, selain sebatan tidak kurang 15 sebatan.
Sumber: IPD Keningau

