PENAMPANG: 3 September 2026 – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun untuk membantu siasatan kes kematian seorang wanita tempatan berusia 44 tahun.
Mangsa dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 31 Ogos 2026 dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada malam sama.
Hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang membawa kepada penahanan lelaki berkenaan yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai teman lelaki kepada mangsa.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca dari perselisihan faham antara mangsa dengan lelaki berkenaan sebelum mangsa dipercayai dipukul.
Pemeriksaan di lokasi kejadian dijalankan pasukan BSJD Penampang bersama Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah. Beberapa barang kes bersama sampel berkaitan turut diperoleh untuk tujuan siasatan, analisis forensik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Polis menegaskan siasatan masih dijalankan, justeru orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan lengkap.
Sumber: Polis Daerah Penampang

