Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kekal Selamat dan Pilihan Utama – Fadhilna

BUKIT MERTAJAM: 7 Ogos 2025 – Sekolah berasrama penuh (SBP) di seluruh negara kekal selamat dan menjadi pilihan utama ibu bapa, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited meningkatkan keselamatan dan memastikan ekosistem pembelajaran yang kondusif serta memberi manfaat kepada pelajar.

“Saya beri jaminan kepada ibu bapa bahawa sekolah-sekolah ini selamat. Kita terus menambah baik aspek keselamatan dan memperkukuh ekosistem sekolah berasrama,” katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik kepada 12 sekolah di Sekolah Sinar Harapan, hari ini.

Kenyataan itu mengulas kebimbangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung dakwaan kes buli yang menimbulkan kebimbangan ibu bapa di Sabah.

Menurutnya, terdapat 72 SBP di seluruh negara yang kekal menjadi pilihan ibu bapa, sekali gus membuktikan keyakinan terhadap tahap keselamatan dan kualiti pendidikannya.

Bagi menangani isu buli, KPM memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) keselamatan, memastikan guru berada di sekolah sepanjang sesi persekolahan, dan mengenakan tindakan tegas kepada pelajar seperti penggantungan.

Pelajar yang digantung akan mengikuti program intervensi khas “Bangkit Bermaruah” kendalian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), manakala peranan kaunselor diperkasa melalui latihan untuk mengesan tanda awal pelajar yang dibuli atau berisiko terlibat salah laku.

“Isu buli memerlukan kerjasama guru, ibu bapa, pelajar dan komuniti bagi memastikan sekolah berasrama penuh kekal sebagai ekosistem pembelajaran yang selamat,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan agar pelajar sentiasa dilindungi dan dapat belajar dalam suasana positif.

Sumber: Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal