SAGA XI Tawau 2025 Buka Tirai Penuh Warna, 30 Kontinjen Sertai Temasya Terbesar Sabah

TAWAU: 12 Oktober 2025 – Bandar Tawau menjadi tumpuan apabila Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 membuka tirainya secara rasmi dengan penuh gemilang di Kompleks Sukan Tawau, menandakan bermulanya temasya sukan terbesar di negeri ini pada malam 11 Oktober.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk SAGA XI Tawau 2025, Datuk Ellron Angin. Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Hj Asun, serta pimpinan agensi, pegawai daerah, ketua kontinjen dan para atlet dari seluruh negeri.

Kompleks Sukan Tawau bergema dengan sorakan penonton, diwarnai persembahan kebudayaan dan perarakan kontinjen yang membawa semangat kesukanan serta perpaduan rakyat Sabah.

Edisi kali ini menghimpunkan 30 kontinjen yang terdiri daripada lebih 9,000 peserta, termasuk atlet, pegawai dan pengurus pasukan. Sebanyak 23 jenis sukan dengan 217 acara dipertandingkan sepanjang tujuh hari penganjuran bermula 11 hingga 17 Oktober.

Antara sukan yang dipertandingkan termasuk bola sepak, bola tampar, olahraga, karate, badminton, renang, dan e-Sukan, dengan penyertaan luas daripada atlet pelapis seluruh daerah.

Penganjuran SAGA XI bukan sekadar medan merebut pingat, tetapi turut menjadi platform pembangunan bakat muda di peringkat negeri. Ia juga diharap dapat memperkukuh semangat juang dan perpaduan antara masyarakat pelbagai latar belakang melalui semangat kesukanan yang tulen.

Ellron berkata, temasya ini membuktikan keupayaan Sabah menganjurkan acara sukan berskala besar sambil mengangkat Tawau sebagai pusat pembangunan sukan baharu di negeri ini.

Temasya SAGA XI Tawau 2025 dijangka menjadi edisi paling meriah dalam sejarah penganjurannya dengan sokongan padu kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.

Sumber: Kenyataan Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal