KUALA LUMPUR: 4 November 2025 – Industri kreatif Sabah bakal menerima suntikan baharu apabila Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Profesional Pasca-Produksi (MyPOST) bagi memperkukuh bidang pasca-produksi dan menyeragamkan kualiti penyuntingan di seluruh negara.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Letter of Intent (LoI) yang menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam meningkatkan kecekapan tenaga mahir serta memperluas pembangunan modal insan dalam industri kreatif tempatan.
Presiden SAFVA, Chester Pang, berkata inisiatif tersebut adalah langkah penting untuk membawa bakat-bakat kreatif Sabah ke tahap yang setanding dengan kebangsaan.
Menurut beliau, usaha itu akan membuka lebih banyak peluang latihan dan kolaborasi bersama pertubuhan profesional bagi memastikan tenaga kerja kreatif tempatan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Pengerusi MyPOST, Tc. Isazaly Mohd Isa, pula berkata melalui persefahaman itu, MyPOST akan membantu menyediakan latihan yang lebih berkesan dan menjimatkan kos, termasuk melalui sesi dalam talian dan bengkel bersemuka.
Beliau menjelaskan pendekatan ini akan memberi manfaat besar kepada penggiat filem dan penerbit di Sabah dalam meningkatkan kemahiran teknikal serta profesionalisme kerja.
LoI tersebut menumpukan kepada tiga matlamat utama iaitu menyeragamkan standard profesional industri, membangunkan kapasiti serta teknologi baharu, dan mengukuhkan saluran bakat dalam bidang pasca-produksi.
Sebagai permulaan, dua bengkel utama akan dianjurkan di Sabah tahun depan dengan fokus kepada pembangunan profesional, perniagaan, dan peningkatan kemahiran kreatif serta teknikal.
Majlis menandatangani LoI itu turut dihadiri barisan kepimpinan kedua-dua persatuan termasuk Zahm Zulkifli, Jade Morris, Gregory Giting dan Nadira Ilana dari SAFVA, manakala MyPOST diwakili oleh Andy Alias, Nik Haslinda Hew, Taza AlJafree dan Yasser Selamat.

