Friday, April 11, 2025

Sabah, Sarawak ‘king maker’ PRU15

Tan Sri T C Goh

KOTA KINABALU: Melihat kepada landskap politik semasa, mana-mana puak politik yang mahu membentuk Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti, mereka perlulah membentuk pakatan yang kukuh dengan parti-parti politik di Sabah dan Sarawak, kata Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri T C Goh.

Katanya, pilihan raya umum sebelum ini telah banyak mengubah landskap politik di Semenanjung Malaysia iaitu daripada ‘sistem dua parti’ kepada ‘sistem pelbagai parti’ pada hari ini.

Dalam erti kata lain katanya, tiada satu parti politik pun di negara ini boleh membentuk kerajaan atas kaki sendiri dan ini adalah hasil daripada suasana landskap politik hari ini yang sudah begitu hancur dan rosak.

Goh yang juga Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam amal anjuran Persatuan Perkhidmatan Ambulans Lions Kota Kinabalu (LASS) diadakan sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-12, di Bilik Ball Teater Putera, di Bukit Padang di sini, Sabtu.

Beliau juga menyediakan penajaan untuk 100 botol wain Presidential Signature Blend dari Dewan Kemasyhuran Presiden Dunia yang bertujuan mengumpul dana untuk membantu LASS.

Turut hadir di majlis itu ialah Kapitan Loh Ming Hua merupakan tetamu khas, Lydia Lee Pengerusi LASS dan Karen Koh, naib pengerusi merangkap pengerusi penganjur untuk majlis itu.

Goh menegaskan bahawa Sabah juga akan menjadi pemain penting dalam perebutan bagi kawasan parlimen dan ini menjadikan negeri ini sangat dikehendaki oleh parti politik yang berpusat di semenanjung yang mahu menjadikan mereka sebagai sekutu.

Sambil menyatakan bahawa daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 26 kerusi (termasuk kawasan parlimen Labuan) adalah dari Sabah. Ini kurang daripada 12 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi negara.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa 26 kerusi ini akan menjadi signifikan dalam PRU15 akan datang dan tidak boleh diabaikan oleh mana-mana puak politik yang berhasrat membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Beliau mengiktiraf betapa dinamiknya politik Sabah dengan memetik jumlah parti politik yang wujud di negeri ini yang banyak. Bilangan besar calon pilihan raya itu mengakibatkan banyak berlaku pertandingan pelbagai penjuru semasa pilihan raya.

Goh yang juga Presiden Persekutuan Sabah dan Persatuan Hokkien Labuan (FSLHA) menggesa pengundi Cina menggunakan hak mengundi mereka dengan bijak untuk menentukan masa depan yang lebih baik untuk diri mereka dan negara.

“Saya harap semua orang akan keluar mengundi dan elakkan membuang undi rosak. Kita mesti berusaha untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita sebagai warganegara untuk menjaga demokrasi kita,” desaknya.

-Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights