KUALA LUMPUR: 9 Februari 2026 — Kerajaan Negeri Sabah melalui syarikat miliknya, SMJ Energy Sdn. Bhd., memperoleh 20% kepentingan dalam satu projek pengeluaran minyak di perairan Sabah hasil kerjasama strategik dengan PETRONAS.
PETRONAS dalam satu kenyataan memaklumkan perjanjian itu membolehkan SMJ Energy memiliki sebahagian kepentingan dalam projek North Sabah Enhanced Oil Recovery.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Carigali, Hazli Sham Kassim, berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam membangunkan industri minyak dan gas negara.
“Perjanjian ini menunjukkan komitmen berterusan PETRONAS Carigali dan SMJ Energy untuk membina kerjasama yang saling menguntungkan serta mengukuhkan pembangunan industri minyak dan gas di Sabah,” katanya.
Selepas perjanjian dimuktamadkan, PETRONAS Carigali akan memegang 30% kepentingan, manakala SMJ Energy memiliki 20%, manakalah SEA-Hibiscus Sdn. Bhd. kekal sebagai pengendali utama projek dengan 50% kepentingan.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik.
Projek berkenaan melibatkan beberapa medan minyak di luar pesisir pantai Sabah, iaitu Barton, South Furious, SF30 dan St Joseph.
Kerjasama antara kerajaan negeri Sabah dan PETRONAS ini adalah sebahagian daripada perjanjian kerjasama komersial yang dimeterai pada 7 Disember 2021.
Selain sektor huluan minyak dan gas, SMJ Energy turut mempunyai pegangan dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah dan projek gas asli cecair terapung PFLNG 3.
PETRONAS menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan sumber minyak dan gas negara secara bertanggungjawab.
