KOTA KINABALU: 8 April 2026 – Keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi perintah tangguh pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai Geran Khas 40% telah dijangka dan tidak mengejutkan. Walau bagaimanapun, yang membimbangkan adalah tindakan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah tersebut, kata Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan kelmarin.
“Pertama, walaupun terdapat keputusan Perdana Menteri dan Kabinet yang dikatakan tidak merayu terhadap 40%, rayuan sebenar telah difailkan. Kedua, permohonan tangguh pelaksanaan yang dibuat pada saat-saat akhir mengakibatkan Mahkamah Rayuan semalam memberi perintah tangguh tersebut.
“Ketiga, ketiadaan tindakan untuk melaksanakan semakan ke atas “Tahun-Tahun Hilang” sejak 1974, yang mana Mahkamah Tinggi telah mengarahkan ia diadakan dalam tempoh 90 hari dari tarikh keputusan Mahkamah pada 17 Oktober 2025.
“Keempat, kegagalan dan ketiadaan tindakan untuk bermesyuarat dan berbincang untuk mencapai persetujuan mengenai jumlah 40%. Ia sekadar untuk bersetuju tentang jumlah 40%, bukan pembayaran sebenar,” tegasnya.
Dr Jeffrey juga berkata, rakyat Sabah tidak boleh dipersalahkan kerana mempersoalkan ketulusan Kerajaan Persekutuan mengenai pembayaran 40% kembali kepada Sabah. Tidak menghairankan bahawa satu teras utama komen terhadap pemberian perintah tangguh pelaksanaan adalah luahan kemarahan di media sosial supaya Sabah keluar dari Malaysia.
“Sekarang bola berada di gelanggang kerajaan Sabah untuk tindakan seterusnya!” tegasnya.
Beliau menekankan bahawa seperti yang diketahui oleh setiap rakyat Sabah, tidak ada semakan wajar ke atas 40% yang perlu dibayar sejak 1974, dan ini telah dinyatakan dengan tepat dalam keputusan Mahkamah Tinggi. Justeru, garis masa 90 hari untuk menjalankan semakan yang wajar. Namun sayang, kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri gagal melaksanakan keperluan perlembagaan dan mandatori ini seperti yang termaktub dalam Perkara 112D.
Menurutnya, walaupun terdapat perintah tangguh, tiada alasan untuk tidak melaksanakan semakan mandatori tersebut, apatah lagi untuk menangguhkan semakan itu sendiri. Perintah tangguh pelaksanaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menafikan atau melambatkan semakan mandatori, yang merupakan kewajipan perlembagaan.
“Kerajaan Negeri perlu tegas dengan pendirian ini dan beristiqamah dalam menuntut agar semakan wajar dilaksanakan dan mencapai persetujuan mengenai jumlah sebenar 40% yang perlu dibayar, dalam tempoh masa yang sesingkat mungkin. Semakan yang pantas akan melihat 40% sebenar bagi tahun 2026 direalisasikan menjelang akhir tahun 2026.
“Jika semasa semakan tiada persetujuan dicapai antara kedua-dua kerajaan, maka Perkara 112D(6) boleh digunakan untuk melantik penilai bebas bagi menentukan jumlah sebenar 40% yang perlu dibayar kepada Sabah,” katanya.
Dr Jeffrey menekankan bahawa Kerajaan Sabah perlu mengambil perhatian terhadap kenyataan media wakil rakyat yang dicalonkan mereka, Datuk Roger Chin, yang saya sokong sepenuhnya.
“Kerajaan Sabah perlu menuntut agar semakan mandatori dilaksanakan seperti yang dinyatakan oleh Datuk Roger Chin, bahawa penerimaan berterusan terhadap kelewatan tidak boleh menggantikan pematuhan terhadap kewajipan perlembagaan untuk mengembalikan Geran Khas 40%.” Katanya.
