Sabah perlu penegasan penyelesaian semua perkara MA63 – Dr Jeffrey

DDJK mug short parlimen

KUALA LUMPUR: 11 Februari 2026 – Sabah perlu penegasan semula komitmen terhadap penyelesaian menyeluruh semua perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukan hanya menekankan keperluan menyelesaikan 16 perkara yang tertunggak, tetapi juga perkara-perkara lain yang belum diketengahkan, seperti sempadan Negeri – perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan, hasil-hasil lain yang perlu dibayar kepada Sabah dan Sarawak mengikut Jadual 10, Perkara 8 MA63 – dan sebagainya, tegas Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dalam kenyataan akhbar hari ini.

Dr Jeffrey membangkitkan kebimbangan yang mendalam rakyat di Sabah mengenai kelambatan dan kekurangan ketegasan dalam menangani isu-isu MA63 terutamanya 40% hasil bersih dan, minyak dan gas. Beliau secara tepat menyatakan bahawa kenyataan umum semata-mata tidak mencukupi, justeru memerlukan pelan tindakan konkrit dan tersusun dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Kegagalan untuk bertindak dengan segera berisiko memanjangkan isu-isu ini selama 63 tahun lagi.

Dr Jeffrey dengan tegas berkata, “Tindakan segera diperlukan. Contohnya, untuk melaksanakan keputusan mahkamah mengenai pembayaran hak Hasil Bersih 40% seperti yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.”

Beliau menekankan bahawa hasil tersebut penting untuk membiayai pembangunan dan keperluan asas rakyat Sabah termasuk kebajikan, kesihatan, dan pendidikan. Selain itu, ia akan membolehkan Kerajaan Sabah membangunkan potensi ekonomi dan perdagangan secara optimum, meningkatkan infrastruktur asas dan pembangunan rakyatnya yang sewajarnya.

“Kecuali dengan mengamalkan sikap baharu berorientasikan hasil dan pembuatan keputusan dan mesyuarat lebih kerap dan terpimpin, kita akan terus berlegar di bulatan yang sama seperti yang telah kita lakukan selama 63 tahun yang lalu!” tegasnya.

Dr Jeffrey memainkan peranan sebagai wakil utama Kerajaan Negeri Sabah dalam kedua-dua Majlis Pelaksanaan MA63 (MPMA63, 2018-2023) dan terkini Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA3) semasa sebelum pilihan raya Negeri.

Beliau adalah suara utama yang lantang dan konsisten membangkitkan tuntutan Sabah, seperti 40% hasil bersih, minyak dan gas, dan peningkatan cukai jualan petroleum (Sales Tax), pembayaran tunai pampasan royalty minyak, pengembalian hak bidang kuasa maritim, dan pelaksanaan perundingan sebelum tindakan seperti termaktub dalam MA63.

Dr Jeffrey terus menjadi penyampai tuntutan dan ‘watchdog’ Sabah, secara terbuka telah menyatakan pendirian Sabah, dan mengkritik kelambatan pelaksanaan, antaranya; tuntutan untuk pembayaran balik cukai jualan petroleum untuk Sabah, 40% hasih bersih di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, tuntutan 10% duti eksport ke atas petroleum mentah sebagai ganti royalty sehingga 10% nilai ad valorem dan pelarasan formula pengagihan peruntukan pembangunan kepada 50:25:25, peruntukan yang tidak dibelanjakan untuk dikirimkan ke akaun amanah kerajaan Negeri, dan pengembalian bidang kuasa seperti tenaga, pelabuhan, pelancongan, dan alam sekitar.

Beberapa hari yang lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud menjawab soalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, berkata, kerajaan  telah membangunkan Papan Pemuka Status Pelaksanaan MA63 yang disepadukan dalam talian melalui portal rasmi BHESS, membolehkan pihak berkepentingan mengakses maklumat yang tepat dan masa nyata serta  berfungsi sebagai platform pusat untuk memantau pelaksanaan MA63.

Mustapha berkata, Kerajaan Madani akan terus memastikan pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara berhemah, inklusif dan dalam semangat Persekutuan Malaysia, untuk memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pembinaan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal