KUCHING : 7 Oktober 2025 — Sabah berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) ke-22 yang berlangsung di Kuching, Sarawak.
Kontinjen Sabah menamatkan kejohanan dengan pungutan 17 pingat emas, 13 perak dan 8 gangsa, sekali gus mengatasi tuan rumah Sarawak yang meraih 9 pingat emas, 4 perak dan 7 gangsa serta Wilayah Persekutuan dengan 7 emas, 6 perak dan 10 gangsa.
Kejayaan cemerlang itu diraikan dalam Majlis Penutupan Rasmi SOPMA ke-22 yang diadakan di Imperial Grand Ballroom, Imperial Hotel Kuching, malam tadi.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah.
Dalam majlis itu, turut diumumkan pemberian insentif khas kepada para pemenang pingat iaitu RM5,000 bagi emas, RM2,000 bagi perak dan RM1,000 bagi gangsa sebagai tanda penghargaan terhadap semangat dan pengorbanan atlet yang bertanding.
Atlet olahraga Sabah, Azlan Kuste, dinobatkan sebagai Olahragawan SOPMA ke-22 Sarawak 2025 selepas mempamerkan prestasi luar biasa sepanjang kejohanan.
Atlet berusia 24 tahun itu merangkul tiga pingat emas dan mencipta tiga rekod baharu kejohanan masing-masing dalam acara 800 meter lelaki (2:02.88), 1,500 meter lelaki (4:23.46) dan 4×400 meter lelaki bersama kuartet Sabah.
Azlan sebelum ini pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga Pekak Asia Pasifik di Tehran dan SEA Deaf Games Jakarta 2025 serta terus menjadi inspirasi kepada atlet muda di seluruh negeri.
Sementara itu, Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dalam hantaran di Facebook merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri (Dr.) Abang Johari Tun Openg, atas penganjuran temasya yang tersusun dan bermakna.
MSN Sabah menyatakan penganjuran tersebut bukan sekadar kejohanan sukan tetapi menjadi perayaan semangat kesukanan, persahabatan dan kecekalan yang memperkukuh perpaduan antara negeri.
Sumber: Sabah Media