Sabah Juara Debat Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan 2025

photo 2025 09 24 09 03 27

PUTRAJAYA: 22 September 2025 – Pasukan debat dari Sabah muncul johan Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Dekad Bahasa Kebangsaan Kementerian Pendidikan (KPM).

Kemenangan itu diraih oleh enam pelajar perempuan yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau dan Sekolah Menengah Sains Sabah.

Pasukan tersebut membawa pulang piala iringan, piala pusingan serta cek cura bernilai RM12,000 yang ditaja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Empat pelajar dari SMK Tawau iaitu Noraeezma Mada All Joharie, Anas Humairah Suwardi, Anis Malaeka Husni dan Nur Safa Natasya Aaharuddin digabungkan dengan dua pelajar dari SM Sains Sabah, Nur Aisyah Jasrin dan Siti Ellysha Jaimis, membentuk pasukan yang akhirnya dinobatkan sebagai juara.

Walaupun berdepan dengan kekangan persiapan termasuk gangguan bekalan elektrik di Sabah, pasukan berkenaan berjaya menampilkan hujah yang bagus serta strategi debat yang meyakinkan juri hingga melayakkan mereka merangkul gelaran juara.

Pertandingan peringkat kebangsaan ini dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menegaskan bahawa debat bukan sahaja medium pengucapan, malah platform membina keyakinan diri, penguasaan bahasa dan kepimpinan dalam kalangan murid.

Beliau turut mengumumkan bahawa Akademi Bahas MADANI akan diperluaskan ke semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sebagai pusat latihan berstruktur untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bidang debat, pidato dan pengucapan awam.

Kerjasama strategik dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga diiktiraf sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal