KOTA KINABALU: 4 Disember 2025 – Timbalan Ketua Menteri III Sabah dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, dalam satu kenyataan kelmarin, menegaskan akan melaksanakan wawasan Sabah First dalam kementerian yang dipimpin.
Beliau berkata fokus utama adalah membangunkan ekosistem pelaburan dan keusahawanan di Sabah yang mesra pelabur dan usahawan PMKS, serta meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan PMKS agar memenuhi standard pasaran domestik dan antarabangsa serta mampu bersaing di peringkat luar Sabah.
“Ini harus menjadi tunjang kepada aktiviti ekonomi Sabah. Itu adalah Sabah First,” tegasnya.

Ewon berkata, tadbir urus yang cekap dan semangat “facilitate, not frustrate” bagi kemudahan komuniti PMKS Sabah, dan Sabah First adalah tunjang kepada ekonomi negeri melalui peningkatan pendapatan rakyat sama ada sebagai usahawan atau bekerja dengan usahawan.
Beliau juga memaklumkan bahawa tugasan rasmi pertama sebagai menteri telah dimulakan, dengan rancangan mengunjungi agensi-agensi kementerian untuk mendapatkan taklimat serta berkongsi wawasan dan fokus pimpinan. Beliau turut berikrar memperuntukkan sekurang-kurangnya satu hari seminggu untuk bertemu pemegang taruh dan turun padang berjumpa komuniti PMKS serta pihak berkepentingan lain, selain melaksanakan mandat sebagai ADUN Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang.
Dalam konteks pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah, Ewon berkata beliau menghormati kebijaksanaan Ketua Menteri dalam membuat keputusan, namun menegaskan agenda Sabah First tidak akan terpadam. Tegasnya, Sabah First tetap menjadi fokus utama UPKO dalam perjuangan memperolehi hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan pembayaran balik 40 peratus hasil Sabah.
