KOTA KINABALU: 28 September 2025 – Sabah Fest Extravaganza 2025 sekali lagi mengangkat martabat warisan etnik negeri menerusi persembahan penuh warna-warni yang menonjolkan keindahan budaya masyarakat Sabah.
Majlis kemuncak Sabah Fest yang berlangsung di Dataran Terbuka, Sabah International Convention Centre (SICC) itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew.
Beliau berkata, penganjuran festival bukan sekadar sebuah hiburan, sebaliknya medan mempersembahkan tradisi turun-temurun yang menjadi identiti negeri ini.
Sabah Fest tahun ini menampilkan pelbagai persembahan tarian etnik dari seluruh daerah, dengan pengisian yang disusun oleh Lembaga Kebudayaan Sabah.
Acara berprestij ini turut menjadi platform masyarakat untuk menghargai seni budaya melalui rakaman, perkongsian dan promosi di media sosial, sekaligus memperluas capaian warisan kepada khalayak lebih luas.
Festival yang berlangsung selama empat minggu ini terus menjadi simbol usaha berterusan kerajaan negeri dan rakyat dalam memelihara serta mempromosikan khazanah budaya Sabah.