Sabah enggan hidungnya terus ditarik-tarik seperti kerbau
KOTA KINABALU 4 NOVEMBER 2022
SIAPAKAH pilihan para mengundi untuk menerajui kerajaan baharu dalam pilihan raya umum yang akan diadakan dalam masa dua minggu lagi?
Barangkali ramai yang sudah membuat keputusan, tetapi mungkin lebih ramai lagi yang belum pasti siapa yang akan dipilih. Keputusan untuk memilih biasanya didorong oleh emosi dan kurang menggunakan alasan yang rasional atau logik.
Seramai 222 ahli Parlimen yang dipilih dalam pilihan raya umum 2018 sudah bubar dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) menetapkan esok (5 November) untuk calon memfailkan kertas pencalonan masing-masing.
Hari mengundi adalah pada 19 November.
Seperti yang kita sedia maklum, ada 222 kerusi kerusi parlimen di seluruh Malaysia iaitu 165 kerusi di negeri-negeri Semenanjung manakala Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan ada 26 kerusi dan Sarawak 31 kerusi. Mana-mana gabungan yang bercita-cita untuk membentuk Kerajaan Persekutuan memerlukan sekurang kurangnya 112 majoriti.
Jelas sekali bak kata pepatah ‘bersuluh di waktu tengah hari’ di mana semua tahu keadaan politik di Semenanjung kini sangat kucar-kacir. Ketiga-tiga pemain utama dalam pilihan raya kali ini iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mungkin atau tidak akan dapat memastikan kemenangan walaupun tipis.
Parti atau gabungan yang menang mesti memperolehi sekurang kurangnya 112 Ahli Parlimen yang diperlukan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Sekiranya apa yang diramalkan ini berlaku, BN, PN dan PH yang berpangkalan di Semenanjung akan memancing 57 kerusi Sabah Sarawak untuk memenuhi 112 kuota yang diperlukan.
Orang-orang politik selalu menabur janji-janji ‘terang bulan’ dan jual ‘minyak ular’. Tetapi akhirnya, seseorang akan cenderung untuk mendasarkan keputusan pengundian berdasarkan gambaran yang lebih besar yang diwakili oleh calon atau parti mereka berbanding dengan apa dan bagaimana Malaysia harus maju.
Jadi percayalah dan pilihlah apa dan siapa yang anda suka dalam PRU15 kali ini. Namun, bagi pesaing atau calon-calon dalam pilihan raya ini siapa yang diundi oleh rakyat yang melaksanakan tanggungjawab mereka, perlulah menerima dengan ‘berlapang dada’ keputusan yang bakal keluar. Ini juga adalah peluang keemasan bagi Sabah Sarawak untuk meningkatkan kepentingan mereka.
Apakah syarat-syarat untuk meraih sokongan dan seterusnya merebut 57 kerusi Sabah Sarawak?
Senarai seperti hak ke atas sumber minyak dan gas, hak ke atas kutipan cukai, jawatan Timbalan Perdana Menteri, hak sumber asli, hak mengeluarkan lesen eksport, hak untuk pembiayaan pembangunan, hak untuk membuat keputusan sendiri, hak ke atas pendidikan dan hak ke atas penjagaan kesihatan awam. Bolehkah bakal pemenang memberikan hak-hak ini kepada Sabah nanti?
Kerana terdesak BN, PN dan PH akan bersaing untuk menabur tawaran terbaik untuk Sabah dan Sarawak sebagai pertukaran untuk mendapatkan sokongan kita.
Disinilah kita akan melihat siapa yang memberikan tawaran terbaik kepada Sabah dan Sarawak.
Jika BN, PN atau PH ingkar dan mungkir janji, Sabah dan Sarawak boleh menarik balik sokongan pada bila-bila masa dan ini akan menyebabkan kerajaan mereka tumbang.
Ancaman ini meletakkan BN, PN dan PH dalam keadaan berisiko kehilangan kuasa Persekutuan. Oleh itu, mereka akan dipaksa untuk menunaikan janji-janji mereka jika mereka tidak mahu jatuh.
Strategi ini hanya dapat direalisasikan sekiranya rakyat Sabah dan Sarawak bersatu padu dalam pilihan raya kali ini.
Untuk tetap kekal tidak bersatu akan menyebabkan banyak kerusi jatuh ke tangan parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung dan ini adalah resepi Sabah dan rakyatnya kehilangan kuasa untuk tawar-menawar.
Parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung akan terus bermain dan mempermainkan Sabah dan Sarawak dan kita akan terus meminta peruntukan daripada Malaya.
Rakyat Sabah dan Sarawak mesti bersatu supaya mereka (ahli politik Malaya) yang akan menjadi ‘pengemis’ kepada kita nanti.
Dalam hal ini, Presiden Parti Solidariti Tahan Airku (Star) Datuk Dr Jeffery Kitingan telah menegaskan bahawa Sabah sedang bergerak maju dengan kuat untuk menamatkan berdekad-dekad ‘ditarik seperti kerbau’ oleh kuasa yang ada. Beliau merujuk kepada kuasa Malaya.
Kitingan berkata, meja itu kini telah memihak kepada Sabah kerana pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) konsisten dalam memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Sabah dan rakyatnya. Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, kini Malaya mengejar Sabah dan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Sebahagian daripada pencapaian itu ialah Sabah dan Sarawak kini telah diisytiharkan sebagai wilayah, bukan lagi sebagai salah satu negeri dalam persekutuan. Ini satu langkah yang dilihat sebagai pengiktirafan kedudukan kita sebagai rakan kongsi yang sama,” katanya.
Konsep ini mesti dipertahankan di mana kita perlukan pejuang untuk memperjuangkan kepentingan dan hak-hak kita dalam kerajaan pusat. Sabah adalah rakan kongsi dengan Malaya tetapi bukan di bawah telunjuk mereka.
Kitingan menegaskan bahawa politik Sabah tidak sama dengan politik Malaya. Sabah mahukan jenama politiknya sendiri.
Tidak mahu lagi ‘cincin diikat di hidung seperti kerbau’ dan ditarik-tarik. Sabah mahu jadi seperti Sarawak.
– Tv Sabah News
0 Comments