Sabah Electricity uji motosikal elektrik demi kecekapan operasi

WhatsApp Image 2026 10 27 at 3.54.41 PM

oleh David E.

KOTA KINABALU: 27 Oktober 2026 – Sabah Electricity melancarkan Projek Perintis Motosikal Elektrik (EV Bike) untuk meneroka penggunaan kenderaan elektrik demi meningkatkan kecekapan operasi lapangan, mengoptimumkan perbelanjaan dan menyokong kelestarian alam sekitar.

Seramai lima unit motosikal elektrik diserahkan untuk kegunaan anggota kerja pembaca jangka di Bahagian Retail. Majlis penyerahan kunci disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar.

Kumpulan itu dipilih sebagai perintis kerana tugasan harian mereka melibatkan pergerakan kerap ke pelbagai lokasi pelanggan. Keadaan ini membolehkan kesesuaian motosikal elektrik dinilai dalam operasi sebenar.

“Penggunaan motosikal elektrik berpotensi mengurangkan penggunaan petrol dalam perjalanan operasi, di samping membuka ruang penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan,” katanya.

Sepanjang tempoh percubaan enam hingga 12 bulan, Sabah Electricity akan menilai prestasi motosikal berkenaan dari aspek kecekapan tenaga, jarak perjalanan, ketahanan bateri, kos penyelenggaraan, keselamatan dan kesesuaiannya dengan keadaan geografi di Sabah.

Beliau menegaskan, pengalaman anggota kerja terlibat amat penting dalam menentukan kejayaan projek. Rekod penggunaan, kos, prestasi dan maklum balas pembaca jangka akan dikumpulkan secara teratur supaya keputusan dibuat berdasarkan data dan keperluan operasi sebenar.

Jika hasil penilaian menunjukkan motosikal elektrik praktikal, menjimatkan dan sesuai, Sabah Electricity akan mempertimbangkan pembelian lanjutan dan peluasan penggunaan secara berperingkat ke seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Inisiatif ini menyokong komitmen syarikat terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui penerokaan teknologi mesra alam dan penggunaan tenaga cekap.

Sabah Electricity berharap projek perintis ini menjadi asas penambahbaikan berterusan dalam operasi syarikat, selaras usaha menyediakan perkhidmatan cekap kepada pelanggan sambil meneroka penyelesaian mobiliti lestari.

Sumber: Sabah Electricity

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal