SAAN Perkasa Identiti Etnik, “Biar mati anak, jangan mati adat.” – Dr Jeffrey

ddjk SAAN b scaled

TUARAN: 11 April 2026 –  Huguan Siou Lundu Mirongod Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan dalam majlis perasmian Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo Kali Ke-4 tahun 2026 dengan tema “Identiti Etnik adalah Khazanah Negara”, di Kampung Lumawang, Tuaran hari ini, menggesa masyarakat peribumi di seluruh Borneo agar terus mempertahankan adat, budaya dan bahasa masing-masing sebagai asas pengenalan diri.

SAAN silat1

Tetamu majlis disambut dengan Persembahan Kuntau, salah satu warisan seni mempertahankan diri.

Dr Jeffrey menekankan bahawa sekolah adat seperti Sekolah Adat Anak Negeri (SAAN) adalah wadah terbaik untuk memastikan warisan budaya tidak lapuk ditelan zaman.

SAAN Gagarit KDMR

Huruf dan abjad dikenali sebagai Ralan Dot Mamagarit (Cara Menulis)

“Sebagaimana pepatah Melayu mengatakan, ‘Biar mati anak, jangan mati adat’. Ini menunjukkan adat itu amat penting. Bukanlah kita membiarkan anak mati, tetapi untuk memastikan anak-anak kita terpelihara adatnya. Sekolah adat ini penting untuk memastikan budaya dan adat kita akan terus berlangsung dan dipertahankan,” ujar beliau.

Dr Jeffrey yang juga Presiden Dayak Forum (BDF) berkata, masyarakat peribumi hanya dapat mengenali diri mereka sendiri melalui bahasa dan adat resam, bukan hanya di Sabah tetapi di seluruh Pulau Borneo.

SAAN kimaragang 1

Tarian Tradisi Kimaragang

Beliau mengingatkan bahawa Borneo adalah pulau ketiga terbesar di dunia yang dikenali sebagai “Pulau Dayak”, dan mempunyai pelbagai etnik dengan adat yang hampir sama tetapi bahasa yang berbeza-beza.

SAAN ddjk

Menenun Kain Tradisi

“Jadi bagaimana kita mengenali diri kita? Bermula dari bahasa dan adat resam kita sendiri. Bukan di Sabah saja, tapi bermula di Borneo – di Sarawak, di Kalimantan. Kita ada 4 provinsi di Kalimantan dan 9 bahagian di Sarawak. Pulau ini bukan kecil, dan etnik kita bukan sedikit,” katanya.

SAAN Dance1

Tetamu disambut dengan tarian tradisi.

Karnival kali ini turut disertai oleh rakan-rakan dari Sarawak melalui Persatuan Iban Kuntau Sarawak (SIKAR) yang diwakili oleh presidennya, Coach Basil Laman Amin, dan kehadiran dari Kalimantan.

Jeffrey turut mengalu-alukan kolaborasi antara SAAN dengan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan menyatakan harapan agar sekolah adat dapat diwujudkan di seluruh Borneo pada masa hadapan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan komuniti adat.

SAAN Perubatan Tradisi

Perubatan Tradisional

Sebagai Presiden Dayak International Organisation (DIO), Jeffrey mengingatkan bahawa hak-hak masyarakat adat bukan sahaja dilindungi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (termasuk dalam 20 perkara dan Perjanjian antara Kerajaan), tetapi turut diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Deklarasi Hak-Hak Orang Asal Sedunia.

SAAN Sinundugan Tradisi

Sirung antik dipaparkan bersebelahan dengan sirung masa kini.

“Malaysia dan Indonesia telah menandatangani pengisytiharan hak-hak Orang Asal atau komuniti adat di seluruh dunia. Maka kita bernasib baik kerana adat, hak dan kebudayaan kita bukan hanya diiktiraf oleh PBB, tetapi juga diiktiraf di dalam 20 perkara Perjanjian Malaysia. Jika kita pergi ke Batu Sumpah di Keningau, kita boleh baca sendiri jaminan kerajaan Malaysia untuk memelihara dan menghormati adat dan budaya kita di Sabah,” tegas beliau.

SAAN pertanian zaman lalu

Pertanian tradisi amalan turun-temurun – antaranya teknologi pengisar padi manual.

Jeffrey turut mengajak semua pihak supaya tidak hanya memelihara adat yang sedia ada, tetapi juga memperkembangkan dan “menimbul semula” perkara-perkara yang telah dilupakan, termasuk bahasa purba seperti bahasa Bobolian, dan seni mempertahankan diri seperti kuntau.

Beliau turut memberi peringatan agar masyarakat tidak mengamalkan unsur-unsur negatif seperti *mogumpadan* (menyalahgunakan sesuatu) yang boleh membawa kesan buruk.

“Jangan main-main dengan perkara yang kita tidak faham. Hari ini adalah festival sekolah adat, maka marilah kita angkat bersama kebudayaan ini ke masa depan supaya diwarisi kepada anak cucu kita,” katanya.

SAAN Penampang1

Turut hadir dalam majlis tersebut antarannya Pengerusi Lembaga Penasihat SAAN, Datuk Kalakau Untol; Senator Edward Linggu; Presiden Pertubuhan Bobolian Sabah, Datuk Steven Awit Boliku; Ketua Pengarah Sekolah Adat Anak Negeri (SAAN), Bobby Brown Kristus; presiden-presiden persatuan etnik, ketua-ketua kampung, guru-guru SAAN, para juri dan hakim pertandingan, bersama rakan-rakan media.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal