RUU Pembangunan Sukan perlu progresif, elak campur tangan politik – Jeffrey

DDJK Parlimen 280126 1

oleh David E.

KUALA LUMPUR: 6 Oktober 2026– Ahli Dewan Rakyat Keningau, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan 2026 tetapi menegaskan ia perlu dipinda secara progresif dan tidak hanya tertumpu kepada tindakan menghukum pembatalan pendaftaran badan sukan.

Beliau berkata RUU itu diperlukan untuk menambah baik pentadbiran sukan dan badan sukan serta kuasa Menteri, namun Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan yang dibangkitkan pihak berkaitan sukan.

“Antara kebimbangan yang dibangkitkan ialah kuasa Menteri dan siasatan penguatkuasaan yang dilihat agresif, serta risiko penyalahgunaan kuasa. Apakah langkah yang akan diambil untuk membendung kebimbangan tersebut?” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, kuasa yang diberikan perlu dilaksanakan dengan amanah.

Beliau turut membangkitkan isu pemain bola sepak keturunan asing yang mendapat kewarganegaraan serta-merta, termasuk dalam tempoh 24 jam, dan mendakwa isu itu belum disiasat sepenuhnya sehingga mencemarkan nama Malaysia. Beliau mempersoalkan mengapa pemohon asal Sabah dan Sarawak terpaksa menunggu bertahun-tahun.

Jeffrey mencadangkan agar pertikaian dan tindakan tatatertib sukan boleh dirujuk kepada Panel Rayuan Bebas, seperti amalan di Eropah, selepas keputusan Menteri melaksanakan kuasanya.

Mengenai pentadbiran sukan antarabangsa, beliau meminta Kerajaan menyelaraskan dan mengharmonikan RUU itu dengan keperluan badan seperti IOC dan FIFA yang melarang campur tangan politik dan Kerajaan dalam urustadbir badan sukan.

Beliau turut membangkitkan kejayaan atlet Sabah yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Antaranya, Adeola Fay Robert dari Tambunan, Parlimen Keningau, yang memenangi emas pertama Malaysia dalam sukan karate di Sukan Asia 2026 di Jepun; Abdul Halim Mohammad dari Tuaran yang dinobatkan Atlet Lelaki Terbaik Malaysia di Sukan Para ASEAN dengan lima emas renang individu, empat daripadanya mencatat rekod kejohanan; dan Ican Jovic Suan dari Tuaran yang memenangi beberapa pingat emas dalam acara larian pecut.

Beliau juga menyatakan atlet veteran Sabah membentuk 77 peratus pasukan Malaysia ke Kejohanan World Masters Athletics Championships di Daegu, Korea Selatan, selain pasukan pelajar Sabah muncul juara MSSM Kebangsaan dengan 25 emas, 13 perak dan 13 gangsa.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian mengambil perhatian serta mengasuh dan menaja bakat atlet Sabah dengan sumbangan kewangan mencukupi; menambah dan menaik taraf fasiliti serta kelengkapan sukan; dan melatih serta meningkatkan kemahiran jurulatih di semua peringkat dari sekolah hingga tertinggi.

Beliau juga melahirkan kesedihan terhadap nasib atlet dan ahli sukan yang mengharumkan nama Malaysia semasa kemuncak prestasi tetapi berdepan masalah dan kesempitan kewangan selepas bersara.

“Kementerian dan Kerajaan harus merancang serta mengadakan program membantu atlet dan ahli sukan bersara. Jangan hanya meminjam mereka semasa di puncak prestasi dan muda, lalu membiarkan dan menghanyutkan mereka menderita selepas tua dan bersara,” katanya.

Beliau menambah, dengan itu Keningau menyokong RUU tersebut.

— TVSabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal